SHENZHEN: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata dokumen perintah tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Encik Najib Tun Razak, mungkin telah dinyahklasifikasikan sebagai sebahagian daripada prosiding mahkamah.

Bagaimanapun, Datuk Anwar tidak mengesahkan sama ada dokumen berkenaan telah dinyahklasifikasikan, sebaliknya berkata kerajaan akan memberikan perkembangan terkini mengenai statusnya dalam masa terdekat.

“Dokumen perintah tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

“Bagaimanapun, sebagai prinsip umum, sekiranya perintah itu dicabar dan dibawa ke mahkamah, dokumen itu akan dinyahklasifikasikan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Dalam perkembangan berasingan, portal berita Free Malaysia Today, yang memetik satu sumber melaporkan, minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung pengampunan bersyarat Encik Najib untuk menjalani baki hukuman penjaranya sebagai tahanan rumah, telah dinyahklasifikasikan sebagai sebahagian daripada afidavit.

Menurut laporan itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) perlu memfailkan afidavit berkenaan, berikutan cabaran yang dikemukakan oleh Badan Peguam terhadap perintah tahanan rumah yang diberikan kepada Encik Najib.

Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sebelum ini menggesa kerajaan menjelaskan sama ada minit mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dimuat naik oleh bekas Ahli Parlimen Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Tony Pua pada 18 November, yang mendakwa ia telah dinyahklasifikasikan.

Ahli-ahli Parlimen itu berkata prosiding dan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan adalah dokumen rasmi kerajaan, yang diklasifikasikan sebagai sulit serta dilindungi mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Umno dalam satu kenyataan pada 18 November turut menuntut kerajaan memberikan penjelasan segera berhubung proses, asas perundangan serta pihak yang meluluskan penyahklasifikasian minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan mengenai pengampunan bersyarat Encik Najib.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata penjelasan berkenaan penting bagi merungkai persoalan utama sama ada pendedahan dokumen terbabit sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong atau sebaliknya.

Beliau berkata parti memandang serius serta amat kesal dengan tindakan penyebaran minit mesyuarat berkenaan di media sosial, khususnya tindakan Encik Pua, yang memuat naik dokumen terbabit menerusi akaun Facebooknya.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pada 16 November, di Dewan Rakyat dilaporkan berkata kerajaan akan membawa cadangan menyahklasifikasikan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan itu ke Kabinet.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan Umno yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Seri Azalina Othman Said, pula dilaporkan berkata isu pendedahan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan itu tidak dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 November lalu.