KUALA LUMPUR: Kerajaan akan segera mengusir rakyat Israel yang didakwa memiliki dua kewarganegaraan dan menetap di Malaysia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Datuk Anwar berkata Malaysia tidak akan berkompromi dengan keadaan itu, jika dakwaan terbabit terbukti benar.

Beliau juga menegaskan semua agensi berkaitan sudah memulakan siasatan berhubung dakwaan berkenaan.

Katanya Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dijangka memberi penjelasan lanjut berhubung perkara itu.

“Semua agensi berkaitan (sedang menyiasat dakwaan ini) dan saya percaya Datuk Zambry akan beri jawapan. Kita siasat dan tidak izinkan (rakyat Israel menetap di Malaysia) kerana kita tidak iktiraf (Israel).

“Mereka akan diusir segera (jika terbukti dakwaan terbabit benar). Tetapi (dakwaan) ini semua agensi sudah menjalankan siasatan,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, pada 15 Julai, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau mengulas gesaan kerajaan Johor yang meminta pihak berkuasa menyiasat komuniti teknologi di Forest City di Johor, yang dikenali sebagai ‘Network School’, menyusuli dakwaan warga Israel dengan dua kerakyatan menetap di kawasan terbabit.

‘Network School’ ialah komuniti kediaman dan ruang kerja bersama persendirian, dilancarkan pelabur teknologi, Balahi Srinivasan, pada 2024.

Komuniti itu menyasarkan golongan digelar ‘techno-optimist’ dan mengenakan bayaran bernilai AS$1,500 ($2,064) sebulan bagi penginapan, makanan dan perkhidmatan lain, termasuk akses ke gimnasium.

Pada 14 Julai, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, meminta Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, polis dan agensi lain memeriksa kerakyatan individu terbabit bagi menentukan sama ada mereka menggunakan pasport kedua untuk mendiami di komuniti itu.

Beliau turut menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Digital memeriksa status ‘Network School’ yang dikatakan tidak menyediakan perkhidmatan pendidikan atau meletakkan statusnya sebagai institusi pengajian tinggi.

Sementara itu, Forest City dalam kenyataan pada 15 Julai memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan berhubung operasi ‘Network School’ susulan dakwaan membabitkan kewarganegaraan individu.

Forest City berkata pihaknya menyokong pendirian kerajaan yang tidak akan membenarkan mana-mana pihak menggunakan Johor sebagai pangkalan kepada sebarang ideologi, gerakan atau aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang negara.

Tambah kenyataan itu, sekiranya pihak berkuasa mendapati berlaku pelanggaran undang-undang, peraturan imigresen, syarat pelesenan, penggunaan tanah atau perjanjian, Forest City akan melaksanakan haknya berdasarkan undang-undang dan kontrak.