Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki Israel miliki 6 senjata api dipenjara 7 tahun

Feb 26, 2025 | 4:36 PM
Lelaki warga Israel, Avitan Shalom, dijatuhi hukuman penjara maksimum tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Kajang, Selangor, selepas mengaku bersalah atas dua tuduhan memiliki 200 butir peluru dan enam senjata api, pada 2024.
Lelaki warga Israel, Avitan Shalom, dijatuhi hukuman penjara maksimum tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Kajang, Selangor, selepas mengaku bersalah atas dua tuduhan memiliki 200 butir peluru dan enam senjata api, pada 2024. - Foto NSTP

KAJANG (Selangor): Lelaki warga Israel, Avitan Shalom, dijatuhi hukuman penjara maksimum tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Kajang, di Selangor, selepas mengaku bersalah atas dua tuduhan iaitu memiliki 200 butir peluru dan enam senjata api, pada 2024.

Hakim Mahkamah Sesyen Mohd Zaki Mohd Salleh, menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh pada 26 Februari, selepas menerima pengakuan bersalah lelaki berusia 39 tahun itu, yang memiliki syarikat pembekalan perubatan di New York.

“Selepas mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bagi setiap tuduhan dan hukuman berjalan secara serentak bermula dari tarikh tangkap 28 Mac 2024,” kata Hakim Mohd Zaki, lapor Harian Metro.

Mengikut tuduhan utama, Avitan didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru di dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata.

Manakala bagi tuduhan alternatif, Avitan didakwa memiliki enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9x19, Sig Sauer P3205P, Cougar 8000FT, Glock 17 Gen4 Austria 9x19, M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA dan Stoeger Cougar 8000F.

Kededua tuduhan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 ($3,020) atau kededuanya, jika sabit kesalahan.

Avitan didakwa melakukan kesalahan itu di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, antara 6.46 petang pada 26 Mac dengan 6 petang pada 28 Mac 2024.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Encik Mohamad Mustaffa P Kunyalam, berkata peguam tertuduh mengemukakan representasi ketiga kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 19 Februari lalu supaya tuduhan kedua diberikan alternatif, yang mana tuduhan asal membawa hukuman lebih berat.

“Dalam representasi ketiga itu, tertuduh memohon tuduhan kedua diberikan pindaan kepada Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun.

“Lanjutan daripada representasi dikemukakan itu, AGC pada 20 Februari lalu membalas dan bersetuju dengan representasi ketiga yang dimohon tertuduh,” katanya.

Avitan yang disyaki perisik Israel mempunyai tiga anak berusia sembilan, 10 dan 16 tahun, manakala isterinya adalah seorang suri rumah, dengan kesemua mereka berada di Israel.

Media Malaysia pada Mac 2024 melaporkan, Avitan, yang memiliki pasport kewarganegaraan Perancis, ditahan pada 27 Mac di sebuah hotel mewah di Jalan Ampang, selepas dikesan memiliki enam pucuk pistol berserta 200 butir peluru yang diletakkan di dalam beg miliknya.

Hasil siasatan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas (SB), mendapati Avitan yang memasuki Malaysia pada 12 Mac 2024 melalui penerbangan dari Amiriah Arab Bersatu (UAE) menggunakan pasport kewarganegaraan Perancis, dan didakwa merancang mahu membunuh ketua satu keluarga kumpulan penjenayah yang berseteru dengan keluarganya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg