Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar: M’sia berkecuali, tak condong mana-mana kuasa besar

Jun 7, 2024 | 12:32 PM
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah), menyantuni delegasi antarabangsa yang menyertai Persidangan Meja Bundar Asia Pasifik ke-37 di Kuala Lumpur.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah), menyantuni delegasi antarabangsa yang menyertai Persidangan Meja Bundar Asia Pasifik ke-37 di Kuala Lumpur. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

KUALA LUMPUR: Malaysia kekal dengan pendirian berkecuali dan tidak memilih mana-mana kuasa besar di tengah-tengah ketegangan antara Amerika Syarikat dengan China.

Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perbincangan berterusan dan spekulasi negara mana dipilih Malaysia bukan saja tidak produktif, sebaliknya akan menyumbang kepada timbulnya ketidakpercayaan dan syak wasangka.

Beliau berkata, menganggap Malaysia condong kepada satu pihak, bukan saja tanggapan berlebihan, bahkan persepsi yang salah terhadap kepentingan dan watak negara.

“Kami sangat merdeka. Maksudnya, kami enggan ditakrifkan oleh bagaimana kuasa besar melihat dunia dan Malaysia akan terus berusaha untuk kepentingan nasional dan strategik, yang ditakrifkan mengikut syarat kami sendiri.

“Malaysia mementingkan keamanan dan kemajuan, saling menghormati dan yang paling penting, pematuhan kepada undang-undang dan kerjasama antarabangsa,” katanya pada Persidangan Meja Bundar Asia Pasifik ke-37, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Anwar berkata Malaysia yang akan mempengerusikan Asean pada 2025 akan berusaha dengan negara anggota untuk mendepani cabaran sekali gus meredakan krisis di Myanmar.

“Cabaran sukar yang mesti kita hadapi ialah krisis di Myanmar, memandangkan skala kematian, perpindahan dan pertempurannya. Mesej yang harus disampaikan Asean mesti datang daripada penyatuan suara.

“Kegagalan untuk bertindak, apabila terdapat banyak sebab untuk mempercayai bahawa sesebuah negara anggota melanggar semangat Piagam Asean, ia adalah mengabaikan kewajipan moral kita.

“Biarpun bukan hak kami untuk memutuskan apa yang terbaik untuk rakyat Myanmar, adalah menjadi tanggungjawab kami, rakan dan jiran, untuk membantu memudahkan apa dan di mana yang kami boleh,” katanya.

Datuk Anwar sebelum ini menetapkan nada jelas mengenai apa itu Asean dari kaca mata Malaysia iaitu menekankan kepentingan dialog dan kerjasama untuk memastikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg