Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar: M’sia mesti segera perkasa pelajar tingkat bahasa Inggeris agar tidak ketinggalan

Feb 12, 2025 | 2:07 PM
Menteri Pendidikan Malaysia, Cik Fadhlina Sidek (kanan), bertukar dokumen perjanjian kerjasama dengan Menteri Pendidikan Singapura, Encik Chan Chun Sing (kiri), sempena Rahat Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 di Putrajaya pada Januari.
Menteri Pendidikan Malaysia, Cik Fadhlina Sidek (kanan), bertukar dokumen perjanjian kerjasama dengan Menteri Pendidikan Singapura, Encik Chan Chun Sing (kiri), sempena Rahat Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 di Putrajaya pada Januari. - Foto fail NSTP

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata usaha reformasi (pembaharuan) institusi kerajaan di negara itu perlu disegerakan bagi mengelak Malaysia ketinggalan daripada negara lain.

Memetik inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah, beliau berkata pelaksanaan penuh dasar itu tidak boleh ditangguhkan sehingga 2028, seperti yang dipersetujui kerajaan pada 2023.

Datuk Anwar tidak menafikan kerumitan yang dihadapi dalam pelaksanaan dasar itu.

Namun, beliau memberi penekanan bahawa pergantungan kepada sistem lama akan menyebabkan Malaysia ketinggalan berbanding negara maju lain.

“Kalau ikut unjuran biasa, keputusan kita (mengenai penguasaan bahasa Inggeris pada tahun) 2023, (dasar) akan dirangka tahun 2024 dan akan diputuskan pada 2025.

“(Selepas itu) akan dimulakan rancangan ujian pula pada 2026 dan (bermula) 2027 dijalankan peringkat awal, manakala (pada) 2028 baru dapat cuba laksanakan.

“Tak boleh lagi dah perencanaan begitu, itu perencanaan lama,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan Malaysia di Putrajaya, pada 12 Februari, lapor New Straits Times.

Justeru, beliau menegaskan jentera kerajaan perlu digerakkan dan bertindak dengan pantas demi menyelamatkan Malaysia.

Pada Jun 2024, Datuk Anwar dilaporkan mengutarakan cadangan untuk membawa tenaga pengajar sukarelawan dari Singapura bagi mengajar bahasa Inggeris dan membantu meningkatkan penguasaan bahasa berkenaan dalam kalangan pelajar Malaysia, terutama di kawasan pedalaman.

Cadangan itu kemudian digerakkan menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang melaksanakan Program Sukarelawan Bahasa Inggeris Malaysia-Singapura (MSEVP), dengan program rintisnya akan bermula pertengahan 2025.

Bagi merealisasikan tujuan itu, Menteri Pendidikan Malaysia, Cik Fadhlina Sidek, dan Menteri Pendidikan Singapura, Encik Chan Chun Sing, bertukar dokumen sambil disaksikan Datuk Anwar dan rakan sejawatnya, Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong, di Putrajaya, pada 7 Januari.

Melalui program berkenaan, beberapa guru sukarelawan dari Singapura akan ditempatkan di sekolah terpilih termasuk di kawasan pedalaman bagi membantu meningkatkan tahap penguasaan bahasa berkenaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg