Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Khidmat guru relawan Bahasa Inggeris bukti kerjasama utuh M’sia-S’pura

Jun 20, 2024 | 3:23 PM
Menteri Pendidikan Malaysia, Cik Fadhlina Sidek (tengah), menyantuni murid Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap, Nibong Tebal, Pulau Pinang, selepas merasmikan Program Sekolah Pengajar dan Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI): Sahabat Bahasa Institut Pendidikan Guru Malaysia, pada 20 Jun.
Menteri Pendidikan Malaysia, Cik Fadhlina Sidek (tengah), menyantuni murid Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap, Nibong Tebal, Pulau Pinang, selepas merasmikan Program Sekolah Pengajar dan Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI): Sahabat Bahasa Institut Pendidikan Guru Malaysia, pada 20 Jun. - Foto FACEBOOK FADHLINA SIDEK

NIBONG TEBAL (Pulau Pinang): Cadangan membawa masuk tenaga pengajar sukarelawan Bahasa Inggeris dari Singapura bagi membantu meningkatkan penguasaan pelajar Malaysia terhadap bahasa berkenaan, adalah bukti kerjasama erat diplomatik antara Malaysia-Singapura.

Menteri Pendidikan Malaysia, Cik Fadhlina Sidek, berkata kementeriannya menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk membawa masuk sukarelawan guru Bahasa Inggeris dari Singapura, terutama bagi menampung keperluan itu di kawasan pedalaman termasuk di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata lantikan itu juga tidak melibatkan sebarang bebanan kos tambahan seperti telahan sesetengah pihak dan khidmat guru sukarelawan itu akan dibayar oleh pemerintah Singapura.

“Inisiatif ini memberi peluang kepada murid, guru dan pihak sekolah untuk mendapat pendedahan amalan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan inovasi yang baik.

“Inisiatif sebegini sememangnya sentiasa dilaksanakan Kementerian Pendidikan dengan melibatkan pertukaran guru dari negara maju seperti Korea, Australia dan Amerika Syarikat,” katanya, lapor Sinar Harian.

Terdahulu Cik Fadhlina hadir merasmikan Peluncuran Program Sekolah Pengajar dan Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI): Sahabat Bahasa Institut Pendidikan Guru Malaysia, yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Pada 12 Jun lalu, Datuk Anwar dilapor telah berbincang dengan Singapura mengenai kemungkinan negara republik itu menghantar guru untuk mengajar Bahasa Inggeris dan mata pelajaran lain di beberapa tempat dalam negara.

Datuk Anwar memaklumkan hasrat itu disampaikan beliau dalam pertemuan empat mata dengan rakan sejawatnya dari Singapura, Encik Lawrence Wong, di Seri Perdana, Putrajaya, ketika pemimpin itu mengadakan lawatan kerja rasmi selama dua hari ke Malaysia pada 11 dan 12 Jun.

Jelasnya, ia merupakan cadangan dari Malaysia sekiranya republik itu mempunyai skim bantuan sukarela untuk siswazah Singapura dihantar ke kawasan miskin bandar, pedalaman, Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, cadangan itu telah mencetuskan perdebatan dalam kalangan warga pendidik dan orang ramai yang menyifatkan kerajaan Malaysia sepatutnya mengutamakan tenaga pengajar tempatan dan lepasan universiti dalam negara, terutama yang masih belum beroleh pekerjaan dalam bidang pendidikan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg