KUALA LUMPUR: Program Sukarelawan Bahasa Inggeris Malaysia-Singapura (MSEVP) bagi membantu meningkatkan penguasaan bahasa itu dalam kalangan rakyat Malaysia, akan dilaksanakan dengan program rintis pada pertengahan 2025.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyatakan ia bagi membolehkan kajian awal dilaksanakan sebelum pelaksanaan program.
Menurutnya, tempoh program rintis itu pula adalah selama sebulan dengan membabitkan beberapa sekolah di sekitar Lembah Klang.
“Pemilihan sekolah sedang dilaksanakan dengan teliti khususnya mengambil kira semua aspek termasuk kesan program ini kepada sekolah dan pelajar yang terbabit kelak,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Pada 7 Januari media melaporkan MSEVP bagi membantu meningkatkan penguasaan bahasa berkenaan dalam kalangan rakyat bakal bermula pertengahan 2025.
Program itu akan bermula dengan projek perintis susulan pertukaran Surat Niat antara Yayasan Antarabangsa Singapura dengan Yayasan Guru Tun Hussein Onn, di sini, pada 8 Januari.
Pertukaran dokumen antara Menteri Pendidikan Malaysia, Cik Fadhlina Sidek dengan Menteri Pendidikan Singapura, Encik Chan Chun Sing, disaksikan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
Encik Wong pada sidang media bersama Datuk Anwar dilaporkan berkata bahawa pertukaran Surat Niat terbabit antara usaha memperkasakan kerjasama dua hala yang dapat memanfaatkan rakyat kedua-dua negara.
“Kami sedang melabur dalam masa depan bersama. Anda sudah menyaksikan pelbagai pertukaran perjanjian kami, termasuk Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Pendidikan Tinggi, di samping pertukaran guru Bahasa Inggeris melalui MSEVP.
“Program ini sudah dibincangkan oleh Perdana Menteri Malaysia dan saya ketika lawatan pengenalan saya tahun lalu (2024),” kata Encik Wong.
Dalam lawatan rasmi pertama Encik Wong ke Malaysia pada Jun 2024, Malaysia berbincang dengan Singapura mengenai kemungkinan Singapura menghantar tenaga pengajar untuk mengajar Bahasa Inggeris dan mata pelajaran lain di beberapa tempat di Malaysia.
Pengarah Pembangunan Akademik, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Madya Dr Suriyani Ariffin, berkata pembabitan guru dari Singapura menerusi MSEVP boleh membawa nilai tambah dari segi pertukaran idea dan amalan terbaik.
Namun usaha itu perlu dilengkapi dengan pelan strategik jangka panjang untuk memperkasakan guru Bahasa Inggeris tempatan, katanya.
Keadaan itu tambahnya, akan memastikan kemajuan lebih mampan dan selari dengan matlamat membina generasi pelajar yang lebih yakin berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris, serta bangga dengan identiti bangsa dan budaya Malaysia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg