Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar: M’sia sumbang RM100j untuk Gaza, kecam kekejaman Israel

Aug 25, 2025 | 1:29 PM
PM Anwar, M’sia sumbang RM100j untuk Gaza, Israel
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan peruntukan dana bantuan berjumlah RM100 juta ($30.53 juta) buat Gaza.

“Malam ini (24 Ogos) saya mengumumkan bagi pihak Kerajaan Madani, kita telah luluskan RM100 juta dua tahun lalu (2023) dan malam ini saya isytiharkan Kerajaan Malaysia akan bagi RM100 juta lagi untuk Gaza,” katanya, lapor Astro Awani.

Selain itu, Datuk Anwar juga menyeru syarikat swasta untuk turut prihatin terhadap kesengsaraan yang dialami warga Palestin.

“Saya akan minta rakan-rakan dari syarikat negara kita untuk terus membantu. Mereka telah bantu sebelum ini,” ujarnya, ketika menyampaikan ucaptama pada ‘Malam Himpunan dan Selawat: Malaysiaku Bersama Gaza’ di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, pada malam 24 Ogos.

Sementara itu, di hadapan ribuan pengunjung yang hadir, Datuk Anwar turut menyifatkan tindakan Israel sama seperti haiwan.

Beliau juga menyelar sikap Perdana Menteri Israel yang dianggapnya kurang siuman apabila dengan mudah menuduh warga Gaza terlibat dengan aktiviti Hamas.

“Ini bukan manusia, ini haiwan, orang lapar mati kebuluran, bahan makanan di sempadan tak boleh masuk, orang sakit perlu ubat.

“(Tetapi) Ubatnya dipagar, tidak boleh masuk, manusia paling teruk pun tidak sebegini.

“Netanyahu dan kelompoknya memang kurang siuman, zalim pun sanggup dipertahankan, anak-anak kecil pun (dituduh) Hamas,” katanya.

Datuk Anwar turut menyeru kepada kesatuan masyarakat dalam mendepani isu Gaza agar dapat menghulurkan bantuan dan menghentikan kesengsaraan warganya.

“Jangan tanam bibit-bibit kebencian dan perpecahan di kalangan kita. Bina kekuatan baru, kepada anak muda saya pesan bangkit jaga negara ini biar benar merdeka, biar naik martabat, baru boleh bantu yang lain,” katanya lagi.

Datuk Anwar turut menegaskan Malaysia tidak akan berhenti berjuang untuk Palestin, termasuk meyakinkan negara luar untuk terus menyokong perjuangan memerdekakan negara yang dijajah selama puluhan tahun itu.

Mengakui kadangkala merasakan usaha itu melelahkan dan membuatnya hampir berputus asa, Datuk Anwar berkata ia bukan alasan untuk beliau tidak bercakap mengenai Palestin dengan pemimpin dunia setiap kali bertemu mereka.

“Saya gunakan kuasa sedaya upaya saya, bercakap dengan pemimpin Islam, Jepun, China, India. Ke mana saya pergi, saya tidak pernah tinggalkan saudaraku di Gaza dan Palestin, merayu, mendesak.

“Memang ujian besar buat Gaza dan Palestin, umat Islam dan manusia yang cintakan keadilan, namun kita mesti mengorak langkah, jangan rasa mengalah,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg