KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menafikan dakwaan akan berlaku rombakan Kabinet membabitkan Jemaah Menteri dalam tempoh terdekat.
Datuk Anwar berkata beliau sendiri baru sahaja dimaklumkan tentang laporan rombakan Kabinet itu oleh sebuah portal berita.
“Saya baru diberitahu. Macam mana saya (pun) tak dengar lagi? Siapa nak tolong reshuffle (rombak) itu? Saya tak dengar,” katanya ketika ditemui pemberita pada Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersilan Malaysia 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, lapor Kosmo!.
Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada 12 Ogos turut menjelaskan bahawa isu rombakan Kabinet tiada dalam pengetahuan beliau, sekali gus menafikan perkara itu ada dibincangkan.
“Isu rombakan Kabinet di luar pengetahuan saya,” katanya sambil menambah bahawa beliau tidak dimaklumkan berhubung perkara itu oleh Datuk Anwar semasa di Gua Musang, Kelantan, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Terdahulu, portal berita Free Malaysia Today (FMT) yang memetik sumber Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata seorang Menteri daripada parti itu mungkin akan dipindahkan ke kementerian lain atau digugurkan daripada Jemaah Menteri.
Menurut sumber itu, prestasi Menteri terbabit telah ‘dipersoalkan’, manakala seorang Menteri Besar pula dipercayai akan menjawat jawatan Menteri.
Ketika ditanya dakwaan seorang Menteri Besar akan dilantik menganggotai Jemaah Menteri, Datuk Anwar berkata perkara itu mungkin direalisasikan selepas Pilihan Raya Umum akan datang.
Satu lagi sumber daripada parti komponen Pakatan Harapan, Parti Tindakan Demokratik (DAP) turut mengesahkan desas-desus mengenai rombakan Jemaah Menteri yang mungkin berlaku pada penghujung Ogos, dengan beberapa Timbalan Menteri akan dinaikkan pangkat ke jawatan Menteri.
Manakala satu sumber korporat berkata pasukan Menteri telah menyatakan rombakan yang akan berlaku sebagai alasan pembatalan saat akhir kehadiran seorang Menteri pada acara syarikat bulan ini.
Rombakan Kabinet yang terakhir dilakukan Datuk Anwar pada Disember 2023, menyaksikan saiz barisan Jemaah Menteri dibesarkan daripada 29 Menteri kepada 31.
Encik V Sivakumar dari DAP yang terpalit dengan isu rasuah membabitkan lima pegawainya telah dipecat sebagai Menteri Sumber Manusia.
Dua dilantik semula sebagai Menteri iaitu Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dari Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai Menteri Kesihatan, dan Datuk Seri Johari Ghani dari Umno sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi dengan beberapa Menteri lain pula bertukar portfolio.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg