Anwar nafi M’sia serah 5,207 hektar tanah kepada Indonesia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar nafi M’sia serah 5,207 hektar tanah kepada Indonesia

Feb 4, 2026 | 4:08 PM

Anwar nafi M’sia serah 5,207 hektar tanah kepada Indonesia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
PM Anwar, isu tanah, Indonesia 
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelaskan bahawa kawasan seluas 5,207 hektar yang dituntut Indonesia baru-baru ini bukan milik mana-mana negara sebelum ini.

Pada sesi penerangan khas di Parlimen mengenai Isu Jajaran Sempadan Malaysia-Indonesia pada 4 Februari, Datuk Anwar menjelaskan bahawa kawasan tersebut tidak boleh dianggap sebagai milik mana-mana negara, memandangkan status pemilikan tanah itu tertakluk kepada rundingan dan ‘sempadan yang masih belum dimuktamadkan’.

Justeru, katanya, laporan media yang mengatakan bahawa Malaysia menyerahkan tanah berkenaan kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan berhampiran sempadan Sabah-Kalimantan, adalah tidak benar dan satu penipuan.

“Kawasan masalah sempadan tertangguh (OBP) sebelum ini tidak boleh dianggap sebagai kawasan milik mana-mana negara.

“Ini kerana kawasan itu merupakan kawasan rundingan dan penentuan sempadan yang masih belum dimuktamadkan sejak dulu lagi.

“Saya ingin menegaskan bahawa penentuan sempadan tidak bersandarkan pada prinsip pampasan atau timbal balik, atau untung rugi seperti mana didakwa.

“Sebaliknya, penentuan sempadan antara Malaysia dengan Indonesia adalah bersandarkan kepada konvensyen dan perjanjian seperti yang dijelaskan,” katanya, lapor laman web Malaysiakini.

Datuk Anwar turut menegaskan kedua-dua negara Malaysia dan Indonesia terikat dengan perjanjian yang dimeterai sejak 1915.

“Dakwaan Malaysia serah seluas 5,207 hektar sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan adalah tidak benar dan penipuan, kalau pun tidak dengan niat jahat sama sekali.

“Jadi sebab itu, kita harus terikat dengan perjanjian dan berdasarkan peta di bahagian bawah kawasan yang dipertikai itu telah wujud dalam rekod kita sejak 1919.

“Itu tidak kita sahkan tetapi tak pernah kita tuntut sebagai milik Malaysia,” katanya lagi.

Sementara itu Berita Harian Malaysia melaporkan Datuk Anwar berkata hasil pengukuran dan penandaan semula yang dijalankan Malaysia dan Indonesia bagi OBP di Sungai Sinapad dan Sungai Sesai, membolehkan Malaysia memperoleh tambahan kawasan seluas 780 hektar.

Beliau berkata ini secara tidak langsung menjadikan sebahagian kecil daripada Kampung Kabulangalor, Kampung Lepaga dan Kampung Tetagas, yang terletak berdekatan sempadan Tawau, Sabah, turut termasuk ke kawasan Malaysia.

“Keseluruhan kawasan pertikaian OBP di Sungai Sinapad dan Sungai Sesai dalam kawasan OBP 2700 dan 3100 berjumlah 5,987 hektar dan kawasan ini sememangnya berada di kawasan pentadbiran Indonesia, seperti mana (ditunjukkan) peta.

“Itu kawasan yang daripada awal hak Indonesia tetapi oleh kerana peta itu belum dimuktamadkan, kita tidak bersetuju.

“Tetapi selama ini, ia tidak dipertikai oleh semua kerajaan Inggeris dan kerajaan Malaysia sejak (perjanjian) 1915.

“Sempadan di kawasan OBP berdasarkan prinsip yang terkandung, sekali lagi saya tegaskan pada perjanjian 1915, 780 hektar menjadi milik Malaysia, itu keluasan tambahan bagi Malaysia.

“Manakala 5,987 hektar kekal di bawah milik Indonesia sejak 1915,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg