KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) Malaysia menafikan dakwaan proses pengampunan ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak sah kerana tidak melalui persidangan Lembaga Pengampunan.
AGC dalam satu kenyataan pada 3 Jun, menegaskan bahawa Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya kali Ke-51 diadakan di Istana Negara, Kuala Lumpur, pada 11 pagi, 16 Mei 2018.
Menurut kenyataan itu, mesyuarat berkenaan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong Ke-15, Sultan Muhammad V, dan turut dihadiri antaranya Tun Dr Mahathir selaku Perdana Menteri Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.
“Atas nasihat Lembaga Pengampunan, Yang di-Pertuan Agong Ke-15, Sultan Muhammad V, telah bertitah perkenan bahawa rayuan pengampunan penuh oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dibenarkan dan diberikan pembebasan serta-merta berkuat kuasa mulai tarikh persidangan Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
“Bagi tujuan mesyuarat tersebut, Peguam Negara telah memberikan pendapat bertulis mengenai perkara itu selaras dengan Fasal (9), Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan untuk pertimbangan Lembaga Pengampunan,” kata kenyataan itu, lapor Berita Harian Malaysia.
AGC memandang serius perkara itu sebagai isu yang membabitkan kepentingan Perlembagaan dan institusi di Malaysia.
Selain itu AGC menegaskan sebarang kenyataan boleh mengelirukan masyarakat mengenai keputusan Lembaga Pengampunan adalah tidak wajar sama sekali.
AGC membuat penjelasan itu selepas Dr Mahathir dalam satu video mendakwa bahawa tiada mesyuarat Lembaga Pengampunan yang membuat keputusan mengampunkan Datuk Anwar berlangsung.
Dakwa Dr Mahathir, ia sekali gus menimbulkan persoalan berkaitan kesahan keputusan Sultan Muhammad V sebelum ini yang memberi pengampunan kepada Datuk Anwar.
Datuk Anwar sebelum itu dihukum penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Encik Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 2008.
Bagaimanapun, Datuk Anwar yang ketika itu anggota pembangkang, menafikan tuduhan tersebut dan menyifatkannya sebagai sebahagian komplot politik untuk menjatuhkannya.
Datuk Anwar kemudian diberikan pengampunan penuh oleh Agong ke-15, Sultan Muhammad V, dan dibebaskan kira-kira seminggu selepas PH membentuk Kerajaan Persekutuan buat kali pertama dalam sejarah selepas menewaskan Barisan Nasional (BN) pada PRU14.
“Sebarang kenyataan awam yang boleh mengelirukan orang ramai mengenai keputusan Lembaga Pengampunan adalah sama sekali tidak wajar,” kata AGC.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg