KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyerahkan kepada Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim, untuk memutuskan mengenai isu kewujudan titah adendum (perintah tambahan) yang membolehkan mantan perdana menteri, Encik Najib Tun Razak, menjalani baki hukuman penjara enam tahunnya sebagai tahanan di rumah.
Datuk Anwar berkata beliau telah mengemukakan perkara itu bagi pertimbangan Sultan Ibrahim untuk baginda merujuknya kepada Lembaga Pengampunan, yang akan dipengerusikan baginda, pada masa yang difikirkan sesuai oleh baginda.
Beliau turut menafikan bahawa kerajaannya tidak mengambil sebarang tindakan berhubung kekecohan dan polemik yang timbul akibat isu titah adendum itu hingga ia berlarutan hampir setahun.
Datuk Anwar menegaskan bahawa kerajaan perlu menghormati Agong dan Lembaga Pengampunan yang mempunyai budi bicara mutlak mengenai keputusan berkait perkara itu.
“Mengapa tidak diambil tindakan (atau dilaksanakan titah adendum)? Kerana ketika itu Agong sudah bertukar. Apa-apa tindakan dibuat selepas (pertukaran) perlu dirujuk kepada Agong dan baginda ada menekankan supaya apa-apa keputusan perlu dirujuk kepada Agong.
“Apabila Agong mengadakan mesyuarat Lembaga Pengampunan, minit itu disahkan. Sebab itu saya kata tunggu 6 Januari (untuk pendengaran kes rayuan titah adendum di mahkamah),” katanya pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Parlimen pada 10 Disember.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pasir Mas (Kelantan), Encik Ahmad Fadhli Shaari, daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS), mengenai kelewatan kerajaan melaksanakan titah adendum sejurus perkara itu dititahkan Agong ke-16, Sultan Abdullah, pada 29 Januari.
Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Sultan Abdullah pada 29 Januari memutuskan hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalani Encik Najib bagi kes penyelewengan dana RM42 juta ($12.7 juta) SRC International diberi pengurangan 50 peratus.
Denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Encik Najib bagi kesalahan tersebut pula dikurangkan kepada RM50 juta.
Encik Najib mendakwa beliau mendapat titah adendum daripada Sultan Abdullah selaku Agong ketika itu, yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.
Bagaimanapun, pengesahan mengenai titah adendum itu berlarutan hampir setahun dan mencetuskan polemik dan Encik Najib kemukakan rayuan di mahkamah, dengan pendengaran kes isu itu akan diadakan pada 6 Januari 2025.
Sultan Ibrahim mengambil alih takhta Agong ke-17 pada 30 Januari 2024.
Datuk Anwar turut menegaskan beliau enggan memberi sebarang komen mengenai kewujudan titah adendum tersebut bagi mengelak sub judice (kes sedang dipertimbangkan mahkamah dan oleh itu tidak boleh diperkatakan di khalayak ramai).
Beliau turut menegaskan beliau tidak mempersoalkan mana-mana pihak yang mahu mempertikai mengenai kewujudan, kesahihan atau pelaksanaan titah adendum itu, yang menyebabkan kerajaan dilihat seolah-olah cuba lepas tangan dan mengelak pengesahan kewujudan perintah tambahan tersebut.
“Tetapi kena ingat ini (pelaksanaan titah adendum) hanya boleh dilakukan dengan perkenan Agong dan setelah dikecualikan dari OSA (Akta Rahsia Rasmi) supaya dapat memadamkan tohmahan yang terus-menerus berlaku terhadap Lembaga Pengampunan, peguam negara atau saya sendiri,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg