Lebih 3,000 penyokong bekas Perdana Menteri Malaysia ke-6, Encik Najib Tun Razak, termasuk parti pembangkang membanjiri perkarangan Istana Kehakiman Putrajaya sejak awal pagi 6 Januari untuk menyertai ‘Himpunan Solidariti Najib Razak’.
Walaupun Umno yang awalnya menyeru kehadiran orang ramai terutama ahlinya ke himpunan itu membatalkannya di saat akhir selepas Istana Negara mengeluarkan kenyataan mengenai kuasa Yang di-Pertuan Agong, ribuan ahli parti itu tegar membuktikan sokongan kepada Encik Najib di Istana Kehakiman Putrajaya.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Muhamad Akmal Salleh, menggamatkan himpunan dengan kehadirannya ke Mahkamah Rayuan disambut sorakan ribuan ahli Umno.
Keluarga Encik Najib iaitu isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; anak sulungnya, Datuk Muhammad Nizar; Encik Mohd Nazifuddin dan Cik Nooryana Najwa turut hadir ke mahkamah.
Selain itu, anak perempuan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi iaitu Datuk Nurulhidayah turut berada di Istana Kehakiman memberi sokongan.
Rata-rata penyokong turut memakai selempang dan mengangkat sepanduk tertulis ‘Solidariti Untuk Najib Razak’ dan ‘Support Bossku’ (sokong bos ku).
Tinjauan Berita Harian mendapati mereka sanggup berjemur dari pagi hingga tengah hari untuk menanti keputusan kes rayuan Encik Najib mengenai kewujudan dan pelaksanaan titah adendum (perintah tambahan) bagi menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah selesai kira-kira 1.30 petang.
Pemimpin dan ahli parti pembangkang parti komponen Perikatan Nasional (PN) turut memenuhi perkarangan Istana Kehakiman.
Antara yang kelihatan ialah Ketua Pembangkang yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin; dan Setiausaha Agung Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Turut hadir Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Terdahulu, Datuk Takiyuddin yang juga mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) memperoleh kebenaran Mahkamah Rayuan untuk hadir sebagai peguam pemerhati bagi rayuan Encik Najib mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung titah adendum mengenai tahanan rumah.
Datuk Takiyuddin berkata beliau akan mewakili Datuk Hamzah, Datuk Ahmad Samsuri dan Datuk Ronald, berikutan isu perintah tambahan itu dibangkitkan secara serius dalam Parlimen Malaysia khususnya Dewan Rakyat pada 10 Disember 2024.
“Perkara ini dibangkitkan secara serius di Dewan Rakyat ketika sesi soal jawab Perdana Menteri (PMQT) mengenai titah adendum dan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) berkata beliau tidak boleh menjelaskan isu ini di Parlimen atas alasan subjudis.
“Cadangan yang kami faham daripada kerajaan ialah untuk kami datang (ke mahkamah) untuk memahami isu ini, justeru kami memohon untuk menjadi pemerhati dalam prosiding ini,” kata Datuk Takiyuddin di hadapan panel tiga hakim diketuai Hakim Azizah Nawawi, sebelum permohonan itu dibenarkan mahkamah.
Encik Najib, 72 tahun, pada 6 Januari menang dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk membuktikan kewujudan dan pelaksanaan perintah tambahan yang dikurniakan oleh Agong ke-16, Sultan Abdullah Ahmad Shah, pada Januari 2024, yang membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah. HANNEEYZAH BAHARIN
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg