Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar: PH berunding dengan BN, GRS elak pertembungan dalam PRN Sabah

Aug 4, 2025 | 12:00 PM
PM Anwar, PH, BN, GRS
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menghadiri Sesi Perjumpaan bersama Pemimpin Keadilan Sabah pada 3 Ogos. - Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) sedang berunding dengan Barisan Nasional (BN) dan juga Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi mencapai kata sepakat untuk mengelak pertembungan di antara tiga gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, juga Pengerusi PH, berkata persefahaman itu cuba dilaksanakan bagi memastikan ketiga-tiga gabungan berkenaan dapat bekerjasama menghadapi pilihan raya tersebut.

“Persefahaman kita sekarang ialah kita cuba buat ketetapan agar tiada pertembungan di antara tiga gabungan ini. Kita cuba mengelak daripada pertempuran antara sesama sendiri disebabkan begitu banyak perbezaan.

“Tapi saya tidak mahu buat andaian awal kerana niat kita ialah mahu pastikan ada persefahaman penuh di antara ketiga-tiga pihak,” katanya semasa ditemui pemberita selepas menyampaikan Amanat Khas Presiden, Gerak Gempur Menang PRN Sabah anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini pada 3 Ogos, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Anwar, yang juga Presiden PKR, berkata demikian ketika ditanya pendirian PH, sama ada memilih BN atau GRS untuk bekerjasama, memandangkan GRS dan BN menyatakan saling tidak mahu bekerjasama untuk menghadapi PRN17.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan timbul kekeliruan rakyat di kawasan tertentu yang berdepan konflik berhubung isu kerjasama di antara PH, BN dan GRS.

Namun katanya beliau mahu menyampaikan mesej kepada pimpinan ketiga-tiga gabungan supaya mementingkan persefahaman berbanding perkara yang menjadi keutamaan masing-masing.

Beliau percaya tiada yang mustahil untuk dicapai dalam politik termasuk aspek kerjasama, walaupun tidak menolak adakalanya ia mustahil untuk dicapai.

Mengulas lanjut mengenai kedudukan PH, Datuk Anwar berkata tumpuan kini adalah untuk memastikan gabungan itu dapat memainkan peranan membina di Sabah.

“Apa yang penting bagi PH ialah mendapatkan peranan yang membina dan memastikan kehadirannya dapat meneruskan agenda reformasi.

“Kita juga perlukan kerjasama semua parti bagi memastikan kestabilan, keamanan dan kerajaan negeri yang kuat yang penting untuk bekerjasama baik dengan Persekutuan untuk manfaat Sabah dan Malaysia” katanya.

Datuk Anwar juga mengakui keadaan PH ketika ini umpama berdepan cinta tiga segi yang ada kalanya menyenangkan dan ada sedikit duka.

Mengenai agihan kerusi, beliau berkata perkara itu masih dirundingkan oleh pasukan pilihan raya yang dibentuk oleh PH.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg