Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zahid: Umno-BN rancang kekal kerjasama dengan Pakatan Harapan pada PRU16

Jul 24, 2025 | 12:50 PM
Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Umno, PRU
Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan bahawa strategi selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bergantung kepada prestasi semua pihak. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Umno dan Barisan Nasional (BN) menegaskan pendirian untuk tidak bergerak solo dan kekal bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang, namun menegaskan bahawa strategi selepas PRU bergantung kepada prestasi semua pihak.

Pengerusi BN merangkap Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata parti itu akan kekal menjalin kerjasama dengan Kerajaan Perpaduan yang ditunjangi blok politik Pakatan Harapan (PH), demi kestabilan politik Malaysia.

Katanya, meskipun terdapat desakan dan suara-suara tertentu yang menggesa Umno-BN bergerak secara solo, keputusan parti itu adalah jelas untuk terus menjalinkan kerjasama dengan pakatan dalam Kerajaan Perpaduan.

Bagaimanapun, Datuk Ahmad Zahid menegaskan, walaupun jalinan kerjasama itu diteruskan, partinya berpendirian untuk kekal menggunakan lambang dacing yang menjadi simbol BN ketika pilihan raya.

“Untuk masa depan, kita tidak akan (bergerak) solo walaupun ada suara yang mahu kita berbuat demikian.

“Tetapi kita tetap guna lambang BN, namun dalam masa yang sama, kerjasama dengan parti-parti lain tetap berjalan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

“Inilah yang dikehendaki oleh ahli Umno dan sudah pastinya, parti lain seperti MIC (Kongres India Malaysia) dan MCA (Persatuan Cina Malaysia) sebagai rakan komponen Umno dalam BN juga mahu menggunakan lambang sama.

“Walaupun kita dengar suara-suara (tidak mahu guna lambang BN), tetapi selagi kepimpinan utama dalam politik kerjasama (‘political coalition’) ini mahu (gunakan lambang BN), kita anggaplah (suara yang tidak mahu) sebagai pendapat peribadi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena BN Forum ke-6 dengan tajuk ‘Masa Depan Politik Kerjasama Malaysia’ pada 23 Julai di Kuala Lumpur.

Datuk Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri Malaysia berkata meskipun Umno dan BN kekal kerjasama dengan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16, sebarang strategi politik selepas pilihan raya itu akan ditentukan berdasarkan prestasi semua pihak.

“Selepas itu kita tidak tahu kita dapat berapa (kerusi), mereka dapat berapa. Tapi ingat, di Malaysia ini lazimnya perbezaan pandangan berdasarkan warna parti adalah nostalgia. Kita sanggup lupakan warna yang berbeza demi kestabilan politik,” katanya.

Umno dan BN membentuk gabungan utama dengan PH dalam penubuhan Kerajaan Perpaduan selepas tiada parti memenangi majoriti untuk membentuk kerajaan selepas PRU15, pada November 2022 lalu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg