Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Umno tunda perhimpunan agung pada Nov, tumpu pilihan raya Sabah

Ditunda kepada 26-29 Nov; keputusan dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT)
Jul 1, 2025 | 1:30 PM
Malaysia, Umno, perhimpunan agung, pilihan raya, Sabah
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (duduk, tengah), dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (duduk, dua dari kanan), semasa mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno di Kuala Lumpur, pada malam 30 Jun. - Foto FACEBOOK AHMAD ZAHID HAMIDI

Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 yang dijadual pada Ogos ini, ditunda kepada 26 hingga 29 November, bagi membolehkan parti itu membuat persiapan dan persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang dipengerusikan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada malam 30 Jun di Kuala Lumpur.

“Tarikh PAU 2025 telah dipersetujui untuk ditunda kepada 26 hingga 29 November 2025, mengambil kira persiapan menghadapi PRN Sabah,” katanya dalam satu kenyataan usai mesyuarat pada 30 Jun.

Umno pada asalnya dijadual mengadakan PAU 2025 pada 20 hingga 23 Ogos.

PRN Sabah dijangka diadakan dalam tempoh terdekat memandangkan tempoh penggal lima tahun Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu akan tamat pada 11 November.

Dalam pada itu, Datuk Dr Asyraf Wajdi berkata pada mesyuarat sama, Umno turut mengulangi pendirian bahawa tiada kewajaran bagi parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk mengambil mana-mana ahli dalam kalangan parti dalam kerajaan gabungan itu.

Menurutnya, ini bagi mengelakkan tercetusnya prasangka dan ketidakharmonian dalam kerajaan yang ditunjangi pelbagai gabungan politik, termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Umno.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada tindakan menteri daripada Umno, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang meninggalkan Umno dan menyatakan hasrat mahu menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Tengku Zafrul, yang juga mantan Ahli MKT dan Ketua Umno Bahagian Kota Raja yang akan tamat tempoh pelantikan senator pada Disember ini, menghantar surat peletakan jawatannya dalam Umno kepada Datuk Ahmad Zahid pada 30 Mei.

Sementara itu, Datuk Dr Asryaf Wajdi berkata Umno akan melaksanakan kajian separuh penggal bagi menilai keberkesanan dan prestasi Kerajaan Perpaduan, termasuklah pencapaian kepimpinan Umno dalam anggota pentadbiran, agensi milik dan berkaitan kerajaan,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Umno turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Badan Perhubungan Umno Terengganu dan Perak dalam membantu pengurusan dan mengendalikan sumbangan kepada mangsa tragedi kemalangan bas di Gerik, Perak, yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Dalam nahas kira-kira 1.10 pagi pada 9 Jun, bas persiaran sewa khas dinaiki 42 penuntut UPSI yang dalam perjalanan kembali ke kampus di Tanjung Malim, Perak, dari Jerteh, Terengganu selepas cuti Aidiladha hilang kawalan dan terbalik.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg