Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Anwar rombak Kabinet M’sia; bentuk empat kementerian baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

Anwar rombak Kabinet M’sia; bentuk empat kementerian baru

Dec 12, 2023 | 02:05 PM



Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan pada 12 Disember dengan menyaksikan beberapa nama bertukar portfolio di samping kehadiran wajah baru dalam Kabinet kerajaan.

Rombakan Kabinet yang diumum selepas setahun pentadbiran Kerajaan Madani itu menyaksikan jumlah keseluruhan meningkat dari 55 orang kepada 60 orang. Ia bagaimanapun lebih rendah berbanding 70 orang barisan Kabinet pada pentadbiran kerajaan terdahulu.

Jumlah itu merangkumi pertambahan Ahli Jemaah Menteri dari 28 orang kepada 31 orang dan Timbalan Menteri dari 27 orang kepada 29 orang.

Kementerian Kewangan, iaitu porfolio paling menjadi tumpuan, menyaksikan Datuk Anwar yang juga Menteri Kewangan akan dibantu oleh Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang dilantik sebagai Menteri Kewangan II.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu mengangkat sumpah sebagai Senator Dewan Negara pada 10 pagi, 12 Disember, di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Datuk Anwar ketika menjawab mengapa beliau memilih Datuk Amir Hamzah untuk mengisi jawatan berkenaan berkata:

“Pandangan saya dan saya fikir sudah ada konsensus bahawa Kementerian Kewangan selain diketuai saya, mesti ada pasukan profesional yang kuat untuk memastikan kita berada di landasan yang tepat dan fokus kepada ekonomi, tidak terganggu dengan tekanan lain.”

Cik Lim Hui Ying, yang sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Menteri Pendidikan, dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Perdana Menteri turut mengumumkan empat kementerian baru yang dipisahkan daripada kementerian sedia ada sebelum ini.

Kementerian terbabit ialah Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam; Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam; Kementerian Komunikasi; dan Kementerian Digital.

Selain Datuk Amir Hamzah, empat lagi muka baru yang membarisi Kabinet kerajaan sebagai menteri ialah Ahli Parlimen (AP) Damansara, Encik Gobind Sigh Deo yang dilantik sebagai Menteri Digital; AP Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Menteri Kesihatan); dan AP Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Menteri Perladangan dan Komoditi).

Tiga daripada mereka pernah memegang jawatan dalam Kabinet beberapa kerajaan sebelum ini iaitu Encik Gobind (mantan Menteri Komunikasi dan Multimedia), Datuk Dr Dzulkefly (mantan Menteri Kesihatan) dan Datuk Johari (mantan Menteri Kewangan II).

Encik Steven Sim Chee Keong, yang sebelum ini menjawat Timbalan Menteri Kewangan II, dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia, menggantikan Encik V Sivakumar yang digugurkan dari senarai.

Kabinet baru Kerajaan Madani menyaksikan seorang menteri dan dua timbalan menteri digugurkan daripada senarai.

Selain Encik V Sivakumar, Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Encik Ramkarpal Singh, dan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching, turut digugurkan.

Lima Timbalan Menteri baru yang dilantik ialah AP Parit Sulong, Datuk Seri Noraini Ahmad (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat); dan AP Ipoh Barat, Encik M Kulasegaran (Jabatan Perdana Menteri atau JPM Undang-Undang dan Reformasi Institusi).

Selain itu, AP Sungai Buloh, Datuk Ramanan Krishnan (Pembangunan Usahawan dan Koperasi); AP Taiping, Encik Wong Kah Woh (Pendidikan); dan Dr Zulkifli Hasan yang baru dilantik sebagai Senator (JPM Hal Ehwal Agama).

Datuk Noraini pernah memegang jawatan Menteri Pengajian Tinggi dalam pentadbiran kerajaan terdahulu, manakala Encik M Kulasegaran adalah mantan Menteri Sumber Manusia.

Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof dilantik mengemudi kementerian baru iaitu Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Awam selain menjadi Menteri yang bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Sabah dan Sarawak.

Jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang kosong sejak Julai lalu berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, diisi oleh AP Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, yang bertukar portfolio sebagai Menteri di JPM Hal Ehwal Sabah Sarawak dan Tugas-Tugas Khas sebelum ini.

Antara perubahan portfolio Menteri lain ialah Kementerian Luar Negeri diterajui Datuk Seri Mohamad Hassan (sebelum ini Menteri Pertahanan); Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai Menteri Pertahanan (sebelum ini Menteri Pendidikan Tinggi); dan Encik Nik Nazmi sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (kementerian baru yang dipisahkan).

Selain itu, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berubah portfolio sebagai Menteri Pendidikan Tinggi (sebelum ini Menteri Luar Negeri); Encik Fahmi Fadzil sebagai Menteri Komunikasi (kementerian baru yang dipisahkan) dan Dr Zaliha Mustafa sebagai Menteri di JPM-Wilayah Persekutuan (sebelum ini Menteri Kesihatan).

Timbalan Menteri yang bertukar portfolio pula ialah Encik Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam yang sebelum ini Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan.


Datuk Arthur Joseph Kurup dilantik Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (sebelum ini Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi); Datuk Aiman Athirah Sabu sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (sebelum ini Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).


Selain itu, Datuk Seri Ahmad Maslan bertukar portfolio dari Timbalan Menteri Kewangan kepada Timbalan Menteri Kerja Raya; Datuk Mohamad Yusof Apdal dilantik Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (sebelum ini Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi).


Nama lain ialah Datuk Sri Huang Tiong Sii yang dilantik Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam; Datuk Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (sebelum ini Timbalan Menteri Sumber Manusia); dan Cik Teo Nie Ching sebagai Timbalan Menteri Komunikasi (kementerian baru yang dipisahkan).


Cik K Saraswathy yang sebelum ini Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi ditukarkan sebagai Timbalan Menteri Perpaduan, manakala Datuk Chan Foong Hin dilantik Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi (sebelum ini Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan).


Datuk Ugak Anak Kumbong memegang jawatan Timbalan Menteri Digital (sebelum ini Timbalan Menteri Tugas-Tugas Khas dan Hal Ehwal Sabah Sarawak), sementara Datuk Sri Abdul Rahman Mohamad dilantik sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia (sebelum ini Timbalan Menteri Kerja Raya).


Majlis angkat sumpah Menteri dan Timbalan Menteri yang baru dilantik berlangsung 3 petang 12 Disember di Istana Negara, Kuala Lumpur, di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ahmad Shah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >