Siasatan kes IJM: SPRM beku 55 akaun berjumlah RM15.8j
SPRM telah geledah 4 lokasi, termasuk kediaman individu serta pejabat syarikat pembinaan, pembangunan hartanah, infrastruktur dan industri
KUALA LUMPUR: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes pengubahan wang haram melibatkan konglomerat utama Malaysia IJM Corporation Berhad (IJM) membawa kepada penggeledahan penting dan pembekuan 55 akaun dengan nilai berjumlah kira-kira RM15.8 juta ($5 juta).
Difahamkan SPRM telah menggeledah empat lokasi, termasuk kediaman individu serta pejabat syarikat pembinaan, pembangunan hartanah, infrastruktur dan industri itu, dalam satu operasi dipanggil Ops Heart pada 20 Januari.
Penggeledahan itu untuk membantu siasatan dakwaan membabitkan IJM dengan salah laku tadbir urus korporat dan aset luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Satu sumber berkata tindakan penggeledahan itu juga adalah susulan siasatan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM ke atas dua individu pengurusan tertinggi IJM termasuk yang bergelar Tan Sri.
“Dalam operasi itu, SPRM juga membekukan 55 akaun bank persendirian serta akaun syarikat-syarikat berkaitan membabitkan keseluruhan nilai kira-kira RM15.8 juta,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia pada 21 Januari.
IJM dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia pada 19 Januari, mengesahkan pegawai daripada SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah hadir ke pejabat syarikat itu untuk mendapatkan maklumat sebagai sebahagian daripada proses dijalankan mereka.
Menurut syarikat itu, mereka akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa, serta komited mendukung piawaian tadbir urus korporat, ketelusan dan integriti yang kukuh.
IJM Corporation adalah sebuah konglomerat utama Malaysia yang terlibat dalam pembinaan dan pembangunan hartanah, termasuk perindustrian dan konsesi infrastruktur seperti lebuh raya dan rel, operasi perladangan dan pelaburan.
Sebelum ini, Pejabat Penipuan Serius Britain (SFO) dilapor melancarkan siasatan terhadap dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah melibatkan transaksi pelaburan bernilai berbilion ringgit yang dikaitkan dengan dua eksekutif IJM.
Ia berlaku ketika Sunway Group sedang berusaha mengambil alih IJM menerusi satu urus niaga bernilai RM11 bilion.
Cadangan penggabungan antara kededua syarikat dijangka mengubah landskap sektor hartanah dan pembinaan Malaysia, sekali gus berpotensi mendorong pemaju dan kontraktor untuk meningkatkan strategi dan daya saing.
Bagaimanapun, Pemuda Umno pada 20 Januari telah melahirkan kebimbangan terhadap cadangan Sunway Group mengambil alih IJM, kerana membabitkan kepentingan nasional dan Bumiputera.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata ini kerana hampir separuh daripada pegangan saham syarikat itu dimiliki institusi pelaburan negara.
Beliau berkata perkara itu timbul menyusuli penerimaan notis daripada Bursa Malaysia oleh IJM pada 12 Januari lalu berhubung kemungkinan Sunway Group membeli saham syarikat berkenaan, sekali gus membuka ruang kepada pengambilalihan penuh.
“IJM bukan syarikat milik individu, sebaliknya dimiliki beberapa institusi pelaburan utama negara termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan pegangan 19 peratus, Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebanyak 14.4 peratus dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dengan 9.6 peratus.
“Lembaga Tabung Haji memiliki 2.8 peratus saham, manakala Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) memegang 0.3 peratus, menjadikan keseluruhan pegangan institusi pelaburan negara mencecah kira-kira 47.1 peratus,” katanya menerusi dua video dikongsi di TikToknya.
Mengulas lanjut, beliau berkata pegangan besar institusi berkenaan menjadikan IJM sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan awam, kepentingan kerajaan serta peranan penting dalam pemilikan ekuiti ekonomi Bumiputera.
Sementara itu menurut MBSB Research, siasatan SPRM terhadap IJM berpotensi memberi penelitian tambahan dan risiko pelaksanaan terhadap cadangan pengambilalihan sukarela bersyarat ke atas IJM oleh Sunway Group.

