PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia bersetuju menurunkan harga diesel bersubsidi buat rakyat Malaysia kepada RM2.10 ($0.66 sen) seliter mulai Julai ini.

Ketika ini, diesel dijual pada harga bersubsidi RM2.15 seliter di Sabah dan Sarawak, berbanding RM4.37 seliter di Semenanjung Malaysia.

Kementerian Kewangan berkata perbezaan ketara antara harga diesel bersubsidi dengan harga tanpa subsidi telah mewujudkan ruang kepada ketirisan serta penyeludupan diesel bersubsidi termasuk ke luar negara.

Menurut kementerian itu, penurunan harga berkenaan akan dilaksanakan menerusi pembaharuan penyasaran subsidi diesel secara seragam di seluruh Malaysia.

Ia akan menggunakan mekanisme berasaskan MyKad (kad pengenalan) selaras dengan pendekatan yang telah dilaksanakan melalui Budi Madani (petrol) RON95.

“Melalui pembaharuan ini, rakyat Malaysia akan menikmati harga yang sama dan cara yang sama di seluruh negara.

“Subsidi diesel akan disalurkan terus kepada rakyat Malaysia melalui pengesahan MyKad, manakala bukan warganegara dan pihak yang tidak layak perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan pada 21 Jun, lapor Kosmo!.

Kementerian Kewangan berkata dalam keadaan krisis Asia Barat yang terus memberi tekanan kepada bekalan minyak dunia, langkah penyelarasan itu penting bagi memastikan subsidi hanya sampai kepada rakyat Malaysia serta mengurangkan ketirisan dan penyeludupan diesel bersubsidi.

“Perbezaan ketara antara harga diesel bersubsidi dan harga tanpa subsidi telah mewujudkan ruang kepada ketirisan serta penyeludupan diesel bersubsidi termasuk ke luar negara.

“Dengan pembaharuan penyasaran subsidi diesel, harga runcit diesel di Sabah dan Sarawak akan diselaraskan kepada harga runcit di Semenanjung Malaysia.

“Pada masa yang sama, rakyat di Sabah dan Sarawak dengan kenderaan diesel akan menikmati pengurangan harga runcit daripada RM2.15 seliter kepada RM2.10 seliter,” katanya.

Pada Mac lalu, Perdana Menteri Malaysia yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilaporkan berkata kerajaan mengekalkan harga diesel bersubsidi di Sabah dan Sarawak pada kadar RM2.15 seliter, meskipun berdepan peningkatan kos subsidi susulan kenaikan harga minyak di pasaran dunia.

Datuk Anwar dalam satu majlis di Bintulu, Sarawak, pada 21 Jun, berkata langkah penyelarasan itu bertujuan memastikan semua rakyat negara itu termasuk di Sabah dan Sarawak dapat menikmati manfaat yang sama.

“Maknanya kalau guna MyKad, harga sama di Semenanjung, Sabah dan Sarawak iaitu RM2.10 seliter untuk rakyat Malaysia yang menggunakan kenderaan diesel,” katanya.