Topik diikuti
Pergi ke BHkuM’sia dijangka belanja RM40b pada 2026 bagi subsidi produk petroleum
M’sia dijangka belanja RM40b pada 2026 bagi subsidi produk petroleum
M’sia dijangka belanja RM40b pada 2026 bagi subsidi produk petroleum
Kerajaan Malaysia dijangka menanggung lonjakan jumlah subsidi produk petroleum sehingga RM40 billion ($12.68 bilion) untuk 2026, sekiranya harga pasaran semasa ketika ini yang meningkat kesan konflik di Asia Barat, kekal.
Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ketika ini Kerajaan menanggung subsidi hampir RM800 juta sebulan bagi petrol RON95 dan diesel pada Januari dan Februari 2026, sebelum melonjak kepada sekitar RM5 bilion sebulan pada Mac dan April 2026.
Beliau berkata peningkatan jumlah subsidi itu membolehkan warga Malaysia berumur 16 tahun ke atas layak menikmati petrol RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 sen seliter.
“Selain itu, manfaat subsidi ini turut dipanjangkan kepada sektor strategik dan kritikal seperti diesel bersubsidi pada harga RM1.65 seliter bagi nelayan.
“Malah, bantuan tunai Budi Agri-Komoditi dinaikkan secara interim daripada RM200 kepada RM400 sebulan bagi meringankan beban lebih 210,000 petani dan pekebun kecil di Semenanjung Malaysia, berikutan peningkatan harga minyak dunia yang dipacu oleh ketegangan geopolitik dan konflik Timur Tengah.
“Dalam pada itu, Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) 1.0 membolehkan pengangkutan awam termasuk bas sekolah dan ekspres menikmati harga diesel pada kadar RM1.88 seliter
“SKDS juga diperluas kepada sektor logistik dan pengangkutan barangan yang layak, di Sabah dan Sarawak yang membolehkan kenderaan komersial membeli diesel pada harga bersubsidi RM2.15 seliter,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen Malaysia.
Datuk Anwar menjawab soalan dikemukakan Anggota Parlimen Temerloh dari Perikatan Nasional (PN), Cik Salamiah Mohd Nor, untuk Menteri Kewangan menyatakan jumlah terkini peruntukan untuk subsidi petrol dan diesel serta senarai pihak yang menerima subsidi selain rakyat secara individu.
Pada masa sama Datuk Anwar berkata kumpulan sasar terpilih seperti pengusaha bot, pengguna genset dan pam air untuk kegunaan kediaman di kawasan pedalaman yang turut memerlukan pembelian diesel bagi kegunaan harian turut menerima manfaat bahan api bersubsidi.
Datuk Anwar memberi jaminan bekalan petroleum negara ketika ini kekal stabil dan mencukupi dan Kerajaan Madani akan terus memperkukuh langkah keterjaminan bekalan dalam jangka panjang serta subsidi bersasar ketika krisis bekalan sejagat masih berlarutan.
“Keutamaan Kerajaan adalah memastikan rakyat terus dilindungi sekiranya krisis ini berpanjangan, khususnya kepada golongan yang paling terkesan dengan tekanan kos sara hidup dan kenaikan harga dunia.
“Kerajaan akan terus memantau kedudukan fiskal dan keupayaan subsidi secara berterusan bagi memastikan bantuan dapat diteruskan secara mampan dan bersasar,” katanya.
