PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan kerjasama dan muafakat dalam kalangan anggota Jemaah Menteri secara keseluruhannya, masih berada pada tahap baik biarpun wujud pelbagai dakwaan terutama di media sosial.

Datuk Anwar berkata kerjasama dalam Jemaah Menteri menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kestabilan politik dan membolehkan kerajaan merancang hala tuju negara.

“Betul, kita tidak menafikan prestasi kita membanggakan kerana dasar yang jelas, politik yang stabil, kerjasama yang ada dalam Jemaah Menteri walaupun kadang-kadang dalam media sosial itu lain sedikit.

“Tapi dari segi kerjasama, umumnya kita muafakat dengan baik dan ini memberikan gambaran kestabilan dan boleh kita rencanakan untuk negara,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di Putrajaya, pada 8 September.

Yang turut hadir, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Sebelum ini, media melaporkan hubungan Datuk Anwar dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kian tegang sehingga menyebabkan mesyuarat Jemaah Menteri kebelakangan ini berlangsung lebih singkat berbanding biasa.

Media yang memetik sumber melaporkan, hubungan yang dikatakan tegang tersebut berpunca keputusan Datuk Ahmad Zahid untuk Barisan Nasional (BN) menentang Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Keadaan itu difahamkan turut dipengaruhi tekanan daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) supaya reformasi institusi dilaksanakan menjelang akhir 2026.

Malah, Datuk Anwar juga perlu mendapatkan sokongan blok politik Datuk Ahmad Zahid bagi mendapatkan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, sebelum pindaan Perlembagaan Persekutuan dapat dibuat.

Mengulas lanjut, Datuk Anwar berkata kestabilan politik yang wujud perlu dimanfaatkan kerajaan untuk meneruskan perancangan serta melaksanakan dasar yang memberi manfaat kepada negara.

Pada masa sama, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak terlalu selesa dengan pencapaian yang diraih, sebaliknya terus berusaha memastikan prestasi kerajaan dapat dipertingkatkan.

Katanya pencapaian yang membanggakan tidak seharusnya menyebabkan kerajaan dilamun rasa enak dan senang dengan kejayaan, sebaliknya perlu menjadi dorongan untuk terus bekerja demi kepentingan negara.

Dalam pada itu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakya (PKR), Datuk Chang Lih Kang, juga menafikan dakwaan wujud keretakan hubungan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan, menyusuli hubungan antara Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Beliau berkata Pakatan Harapan (PH) terus mengekalkan hubungan baik dengan BN walaupun gabungan diterajui Umno itu menjalinkan kerjasama strategik dengan PAS.

“Kita akan lihat bagaimana keadaan berkembang...urusan politik berkaitan dengan hal ehwal parti, jadi setakat ini boleh disahkan bahawa tiada pergolakan dalam Jemaah Menteri,” katanya.