Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar terima anugerah tertinggi Peru

Nov 14, 2024 | 3:10 PM
Presiden Peru, Cik Dina Ercilia Boluarte Zegarra, memakaikan pingat anugerah ‘El Sol Del Peru’ kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Kerajaan di Lima.
Presiden Peru, Cik Dina Ercilia Boluarte Zegarra, memakaikan pingat anugerah ‘El Sol Del Peru’ kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Kerajaan di Lima. - Foto BERNAMA

LIMA (Peru): Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerima penghormatan tertinggi Peru, El Sol Del Peru, yang bermaksud ‘Mentari Peru’, yang menjadikannya satu pengiktirafan antarabangsa buat Malaysia.

Anugerah berprestij itu adalah penghormatan sivil tertua di benua Amerika, yang diwujudkan pada 1821 selepas Peru mencapai kemerdekaan daripada Sepanyol, menjadikannya simbol bersejarah dalam diplomasi antarabangsa.

Anugerah itu disampaikan Presiden Peru, Cik Dina Ercilia Boluarte Zegarra, di Istana Kerajaan Peru pada 14 November.

Dalam ucapan penghargaannya, Datuk Anwar bersyukur atas pengiktirafan itu dan menganggapnya sebagai penghormatan kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Saya terima anugerah ini bagi pihak rakyat Malaysia, dan kita menghargainya sebagai lambang persahabatan yang kukuh antara Malaysia dan Peru,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau turut menyatakan lawatannya ke Peru adalah satu pencapaian bermakna, kerana ia membawa beliau sejauh mungkin dari Malaysia.

Menurut beliau, Kuala Lumpur terletak bertentangan dari Peru di bumi, menggambarkan betapa jauhnya perjalanan itu. Namun, ada kesamaan antara Malaysia dan Peru yang tidak dapat diabaikan.

Beliau menyatakan kedua-dua negara berkongsi sifat masyarakat majmuk dan kepelbagaian biodiversiti, yang menjadi teras persahabatan mereka.

“Seperti Malaysia, Peru juga adalah sebuah negara berbilang budaya dan mempunyai ekosistem yang megadiversiti. Kedua-dua negara turut berusaha menyesuaikan diri dengan perubahan geopolitik dan persaingan ekonomi global,” jelasnya.

Datuk Anwar menegaskan Malaysia dan Peru mempunyai potensi besar untuk memperkukuh kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan, selain menyokong kepentingan negara-negara Selatan dalam forum antarabangsa.

Beliau menarik perhatian bahawa Encik Mario Vargas Llosa, penerima Nobel Kesusasteraan, juga dianugerahkan El Sol Del Peru pada Mac 2023.

Datuk Anwar mengadakan lawatan rasmi ke Peru bermula 13 November. Ia lawatan pertama beliau ke Amerika Latin sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022.

Pada 14 hingga 16 November, beliau menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi (AELM) ke-31 Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg