Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar: Tiada keperluan rombak Kabinet walau beberapa menteri tewas pemilihan cabang PKR

Keputusan pemilihan urusan parti, tiada kaitan dengan urusan kerajaan negeri, Persekutuan
Apr 21, 2025 | 5:30 PM
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

Pemilihan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) peringkat Cabang bagi 2025 yang berakhir pada 20 April, menyaksikan beberapa nama besar termasuk menteri yang membarisi Kerajaan Perpaduan tewas dalam usaha mempertahankan jawatan mereka.

Namun, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan tiada keperluan untuk melakukan rombakan Kabinet.

Menurut Datuk Anwar, yang juga Perdana Menteri Malaysia, keputusan pemilihan merupakan urusan parti, malah tiada kaitan dengan urusan kerajaan negeri mahupun Persekutuan.

“Tiada (rombakan Kabinet), ini pemilihan parti, ini soal parti, bukan soal kerajaan negeri atau pusat.

“Saya lihat prestasi masing-masing bukan daripada segi percaturan politik,” kata Datuk Anwar mengulas dakwaan akan berlaku rombakan Kabinet menyusuli keputusan pemilihan dalaman PKR itu.

Keputusan terkini yang disifatkan banyak pihak sebagai trend ‘badan tanpa kepala’ berikutan sebilangan pemimpin dan nama besar kecundang kepada calon underdog atau tidak ternama, turut dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan, sehingga menyebabkan mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR akan diadakan pada 23 April.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR menafikan dakwaan terdapat ‘tangan ghaib’ yang mempengaruhi perubahan drastik dalam keputusan pemilihan parti itu.

Antara tokoh yang gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR ialah mereka yang dikaitkan sebagai ‘orang kuat Rafizi’ (Menteri Ekonomi dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli).

Mereka ialah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang juga Ahli Parlimen (AP) Setiawangsa (Kuala Lumpur); dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air merangkap AP Johor Bahru, Encik Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Nik Nazmi selaku Naib Presiden PKR yang juga penyandang Ketua Cabang PKR Setiawangsa tewas kepada pelakon, pengarah dan pelawak, Datuk Afdlin Shauki, manakala Encik Akmal Nasrullah, gagal mempertahankan jawatan sebagai Ketua Cabang PKR Johor Bahru.

Antara pemimpin PKR lain yang dikatakan kem Encik Rafizi tetapi kalah dalam pemilihan kali ini ialah AP Ampang (Selangor), Cik Rodziah Ismail; Encik Lee Chean Chung (AP Petaling Jaya, Selangor); dan AP Segamat (Johor), Encik R Yuneswaran.

Datuk Afdlin dalam satu kenyataan menyifatkan kemenangannya sebagai amanah besar dan bukan sekadar satu kejayaan peribadi.

Ia merupakan simbol suara ahli yang mahu melihat nafas baru dalam kepimpinan, selain mahukan politik yang dapat menyentuh hati dan menyelesaikan masalah sebenar.

“Kemenangan ini bukan untuk diraikan dengan sorak gembira, tetapi untuk direnung sebagai titik mula perjuangan lebih besar.

“Kejayaan ini bukan milik saya seorang, tetapi usaha dan iltizam jentera kempen seiring semangat satu pasukan yang percaya dengan objektif iaitu agenda memantapkan PKR,” kata Datuk Afdlin.

Sementara itu AP Pasir Gudang (Johor), Encik Hassan Abdul Karim, di Facebook pada 21 April menyifatkan keputusan mengejutkan dalam pemilihan cabang PKR itu sebagai berlakunya ‘revolusi demokrasi’ dan petanda akar umbi PKR bangkit memusnahkan politik elit serta politik kartel dalam PKR.

Encik Hassan mendakwa, pada pemilihan PKR tiga tahun lalu ramai pemimpin PKR yang bergerak dengan slogan, ‘Ayuh Malaysia’, memenangi jawatan di peringkat cabang dan dakwanya, mereka itu merupakan pemimpin yang cuba menyisihkan Presiden PKR, Datuk Anwar.

Pemilihan PKR 2025 membabitkan peringkat Cabang, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang dan Wanita Cabang, bermula pada 13 April dan berakhir pada 20 April di 222 Cabang PKR seluruh Malaysia.

Sementara itu, pemilihan bagi jawatan PKR peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP), dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) pula dijadual pada 24 Mei.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg