Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar: Tiada PRU pada 2026, mahu tumpu reformasi, tangani masalah rakyat

Turut tegaskan semua anggota Jemaah Menteri yang dipilih punya peranan pastikan khidmat awam dilaksana untuk semua kaum
Dec 18, 2025 | 3:23 PM
Malaysia, Anwar Ibrahim, election, PRU
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menolak sebarang kemungkinan mengadakan pilihan raya umum (PRU) mengejut pada 2026.

Beliau menegaskan keutamaannya kini adalah melaksanakan pembaharuan dan menangani peningkatan kos sara hidup yang dihadapi rakyat.

“Kita masih punyai perjalanan yang panjang. Saya tidak pasti… maksud saya pada masa ini saya memberi tumpuan kepada usaha meneruskan pelaksanaan reformasi serta mengurangkan masalah yang dihadapi rakyat.

“Khususnya kos sara hidup yang semakin tinggi. Itulah dua fokus utama bagi tahun depan (2026) dan saya fikir, walaupun keadaan sekarang agak lebih baik, ia akan menjadi lebih baik lagi pada masa akan datang,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata demikian pada sesi Taklimat Perdana Menteri Bersama Ketua-Ketua Pengarang Media di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, pada 17 Disember.

Datuk Anwar menjawab soalan sama ada bersedia untuk mengadakan pilihan raya lebih awal memandangkan sokongan diterimanya amat baik ketika ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pelantikan kontroversi menteri dan timbalan menteri yang menjaga portfolio Wilayah Persekutuan, Datuk Anwar berkata ia tidak seharusnya dijadikan isu perkauman kerana pemilihan anggota Kabinet tidak mengikut warna kulit.

Beliau menegaskan semua anggota Jemaah Menteri yang dipilih berperanan memastikan perkhidmatan awam berfungsi dengan berkesan untuk semua kaum.

Menurutnya, tadbir urus di Wilayah Persekutuan memerlukan kerja berpasukan, sambil menegaskan walaupun datuk bandar dan pegawai kanan mungkin terdiri daripada orang Melayu, tanggungjawab tetap untuk berkhidmat dan melindungi kepentingan semua masyarakat.

“Ini tidak semestinya bermakna pelantikan menteri berbangsa Cina akan menyebabkan orang Melayu ditindas.

“Begitu juga, jika seorang menteri Melayu diberi amanah mengendalikan portfolio Wilayah Persekutuan, ia tidak bermakna menteri itu hanya akan menjaga kepentingan orang Melayu,” jelasnya.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim, menasihatkan anggota Jemaah Menteri agar sentiasa menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan penuh integriti serta mengutamakan kepentingan rakyat.

Sultan Ibrahim dalam satu kenyataan berkata keutamaan kerajaan antara lain perlu menitikberatkan kesejahteraan rakyat, kestabilan negara serta kemakmuran ekonomi, seiring dengan prinsip tadbir urus yang baik.

Jelas Sultan Ibrahim, anggota Jemaah Menteri perlu bekerjasama sebagai satu pasukan bagi memastikan pentadbiran negara berjalan dengan cekap dan berkesan.

“Menteri dan timbalan menteri perlu sentiasa turun padang mendengar suara rakyat.

“Anda perlu menjalankan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh dedikasi dan komitmen tinggi,” kata Sultan Ibrahim, berdasarkan Royal Press Office, pada 17 Disember.

Terdahulu, Sultan Ibrahim menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia oleh Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri Persekutuan.

Ia menyusuli rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Anwar pada 16 Disember.

“Kita masih punyai perjalanan yang panjang. Saya tidak pasti… maksud saya pada masa ini saya memberi tumpuan kepada usaha meneruskan pelaksanaan reformasi serta mengurangkan masalah yang dihadapi rakyat.”
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg