Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar: Tiada rombakan Kabinet susul pemilihan PKR

May 22, 2025 | 2:24 PM
Anwar Ibrahim, media
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Sesi Taklimat Perdana Menteri Bersama Ketua-Ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di Kompleks Seri Perdana pada 21 Mei. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 sama sekali tidak akan menyebabkan berlakunya rombakan Kabinet.

Beliau, yang juga Presiden PKR, bagaimanapun berkata beliau tidak akan menghalang jika ada mana-mana pimpinan berhasrat melepaskan jawatan dalam kerajaan disebabkan pemilihan parti berkenaan.

“(Pemilihan parti) ini pertandingan di antara sahabat karib dan kawan-kawan setia, tidak timbul sama sekali perubahan Jemaah Menteri.

“Saya tidak tahu (pasal rombakan Kabinet) tapi kita tidak boleh halang orang punya cita-cita (ingin lepaskan jawatan dalam Kabinet jika tewas pemilihan)... kalau tanya saya, tiada rencana sama sekali untuk buat apa-apa pun rombakan (Kabinet),” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sesi Taklimat Perdana Menteri Bersama Ketua-Ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di Kompleks Seri Perdana di sini pada 21 Mei.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang bersedia meletakkan jawatan dalam Kabinet sekiranya gagal mengekalkan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti pada akhir Mei ini di Johor Bahru.

Datuk Rafizi pada program podcast ‘Yang Bakar Menteri, Yang Berhenti Menteri?’ baru-baru ini dilaporkan bersedia meletakkan jawatan dalam Kabinet jika gagal mengekalkan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu.

Beliau berkata walaupun berundur daripada Kabinet, tugas sebagai Ahli Parlimen (AP) Pandan akan tetap diteruskan dan ketika itu beliau bebas untuk berbicara dalam apa sahaja perkara.

Mengulas lanjut, Datuk Anwar mengingatkan semua ahli parti itu supaya memilih pemimpin yang mampu memperkukuhkan jentera parti.

“Dengan pertandingan ini, saya tekankan pilih yang mampu bantu perkukuh jentera parti dan merangkul segala kekuatan,” katanya.

Pada pemilihan PKR yang bermula pada 22 Mei, Datuk Rafizi akan berdepan dengan anak Datuk Anwar sendiri, Cik Nurul Izzah Anwar, dalam perebutan jawatan nombor dua parti berkenaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg