Kurang seminggu lagi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) agak jelas bakal menyaksikan perubahan pucuk pimpinan peringkat Pusat parti itu.
Pemilihan Pusat PKR tiga tahun sekali yang akan berlangsung pada 23 Mei ini disifatkan sebagai yang paling panas, sengit dan tegang berbanding siri pemilihan sebelum ini.
Buat julung kali pemilihan dilaksanakan dalam status berbeza iaitu bukan lagi sebagai pembangkang, sebaliknya antara parti komponen dalam gabungan politik Pakatan Harapan (PH), yang memerintah kerajaan Persekutuan sekarang, selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022.
Pemilihan ini juga menarik tumpuan seluruh Malaysia kerana dilihat sebagai ‘medan ujian’ buat pengasasnya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden PKR dan kali pertama sebagai Perdana Menteri, dalam menentukan kelangsungan dan masa depan parti.
Apatah lagi ketika ini PKR terpalit dakwaan dibuat pemimpinnya sendiri mengenai budaya mewah dan politik wang serta perebutan jawatan selepas PKR berjaya menjadi kerajaan.
Walaupun pemilihan kali ini menyaksikan pertandingan kira-kira 25 jawatan Pusat PKR, kedudukan Timbalan Presiden paling panas dan hebat diperkatakan dengan penyandangnya, Datuk Seri Rafizi Ramli, 47 tahun, bakal dicabar puteri reformasi yang juga anak sulung Datuk Anwar, Cik Nurul Izzah.
Menariknya, belum pun tempoh pengundian bermula, gelombang sokongan terhadap Cik Nurul Izzah, Naib Presiden PKR, untuk memenangi jawatan nombor dua penting dalam parti itu begitu kuat, berbeza dengan nasib Datuk Rafizi yang jelas berdepan gelombang penolakan akar umbi terhadap kepimpinannya.
Berdasarkan sokongan ahli dan pimpinan tinggi parti terhadap Cik Nurul Izzah sepanjang tempoh kempen ini, ibarat sudah terang lagi bersuluh mantan Ahli Parlimen (AP) Lembah Pantai (Kuala Lumpur) itu sudah ‘memenangi’ jawatan Timbalan Presiden.
Tentunya perkembangan itu menggusarkan Datuk Rafizi, yang cuba mempertahan diri menerusi kaedah kempen yang dilihat ‘jelik’ apabila melondehkan pelbagai kelemahan, kekurangan dan pekung PKR, yang akhirnya nanti hanya akan memakan diri dan melemahkan parti.
Menteri Ekonomi itu yang dari awal seolah-olah sudah terbau kekalahan, bukan saja sinis menyangkal potensi lawannya dan membuat serangan kepada parti dan beberapa pihak, malah menyatakan kesediaan meletak jawatan Kabinet sekiranya kalah dalam pemilihan parti itu.
‘Kejatuhan’ Datuk Rafizi juga sudah terlihat sejak pemilihan PKR peringkat cabang pada April lalu, apabila ramai pemimpin parti daripada ‘kem Rafizi’ tewas dalam mempertahankan jawatan masing-masing, termasuk mereka yang memegang jawatan dalam Kabinet.
Sesetengah pihak melihat ketegangan dalam PKR menjelang pemilihan nanti sebagai badai perpecahan dalam parti, namun penganalisis politik dari Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub, berpandangan keputusan Cik Nurul Izzah untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden ialah detik penting buat PKR menentukan peneraju hierarki parti itu.
Menurutnya, Datuk Rafizi dilihat akar umbi PKR sebagai gagal membantu presiden mengemudi parti, sekali gus mahu menjadikan medan pemilihan 2025 ini untuk memilih pemimpin lebih layak.
“Ini adalah peluang terbaik buat Nurul Izzah menaiki hierarki tertinggi PKR. Jika peluang ini tidak digunakannya sekarang, beliau akan berdepan kepayahan untuk jawatan utama parti. Saya lihat PKR sedang mempersiapkan pelapis yang ada DNA Datuk Anwar untuk menggantikannya sebagai Presiden dan Perdana Menteri.
“Sebab itu kita lihat sokongan terhadap Nurul Izzah begitu kuat kerana akar umbi sendiri mahu genetik asli PKR itu mengemudi parti pada masa depan,” katanya kepada Berita Minggu.
Berbanding Datuk Rafizi yang lahir sebagai orang kuat PKR selepas parti itu berjaya memerintah beberapa negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang, Cik Nurul Izzah memiliki DNA asli PKR sedang parti itu diwujudkan daripada gelombang reformasi yang melanda Malaysia selepas pemecatan bapanya, Datuk Anwar, daripada Umno dan kerajaan pada 1998.
Kata Dr Mohammad Tawfik, ahli parti juga mahu pemimpin yang tidak mudah ‘koyak’ dan merajuk dengan merujuk kenyataan Datuk Rafizi yang dari awal mahu meletak jawatan dalam kerajaan sekiranya tewas dalam pemilihan parti.
“Kekuatan yang ada pada Nurul Izzah tidak ada pada Datuk Rafizi. Nurul Izzah sendiri pernah tewas bertanding Ahli Parlimen (AP) di Permatang Pauh, tetapi tidak pernah merajuk dan mahu berehat daripada parti.
“Jelas akar umbi realisitik dan nampak kerana daripada segi kepimpinan dan prestasi, Datuk Rafizi telah mengecewakan ahli selepas diberi kepercayaan memegang jawatan utama.
“Ahli mahu pemimpin yang mampu angkat PKR ke kedudukan yang diyakini terutama menjelang PRU akan datang,” katanya.
Kata Dr Muhammad Tawfik, dakwaan Datuk Rafizi bahawa PKR akan dibelenggu isu nepotisme juga tidak timbul lantaran Cik Nurul Izzah akan diundi ahli PKR, bukan dipilih ahli keluarga untuk memegang sesuatu jawatan.
Adakah perubahan kepimpinan Pusat PKR selepas pemilihan nanti akan membawa kepada rombakan Kabinet?
Dr Mohammad Tawfik tidak menolak kemungkinan ia boleh berlaku dalam tempoh beberapa bulan selepas pemilihan.
“Lebih-lebih lagi apabila ada menteri akan tamat perlantikan Senator dan tidak boleh terus berada dalam Kabinet,” katanya.
Pemilihan peringkat Pusat PKR merangkumi tiga bahagian iaitu jawatan bagi pimpinan Pusat, sayap Wanita dan sayap Pemuda yang dipanggil Angkatan Muda Keadilan (AMK).
Selain jawatan Timbalan Presiden yang dipertandingkan pada pemilihan nanti, kira-kira 30,000 ahli parti juga akan memilih empat lagi untuk mengisi jawatan Naib Presiden dan 20 ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Calon yang memenangi pertandingan dalam pemilihan kali ini akan membarisi pimpinan PKR bagi tempoh 2025-2028. Pemilihan bagi jawatan pimpinan peringkat cabang sudah berlangsung pada 11 hingga 20 April lalu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg