Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

10,000 ahli PKR himpun di JB, Kongres Nasional 2025 pilih kepimpinan Pusat

Tumpuan utama dijangka pada perebutan jawatan Timbalan Presiden
May 21, 2025 | 4:31 PM
Kongres Nasional 2025 Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan diadakan selama tiga hari di Johor Bahru bermula 22 Mei hingga 24 Mei.
Kongres Nasional 2025 Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan diadakan selama tiga hari di Johor Bahru bermula 22 Mei hingga 24 Mei. - Foto BERNAMA

Bandaraya Johor Bahru bakal dibanjiri hampir 10,000 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan menghadiri Kongres Nasional 2025 PKR, bermula 22 hingga 24 Mei ini.

Kongres itu, yang kali pertama diadakan dalam status PKR sebagai pemerintah dan kerajaan Malaysia, akan membuka tirainya di beberapa lokasi yang sudah disenaraikan antaranya Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (Persada); Hotel Berjaya Waterfront dan Pusat Konvensyen Danga Bay.

Kongres Nasional PKR akan bermula dengan perasmian serentak Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada 8 malam 22 Mei, sebelum diteruskan dengan sesi perbahasan oleh ahli Wanita dan AMK pada pagi 23 Mei.

Perjalanan Kongres Nasional PKR kali ini turut dihangatkan dengan proses pemilihan pimpinan peringkat Pusat PKR bagi sesi 2025-2028 bermula 8 pagi hingga 5 petang 23 Mei, yang akan menyaksikan pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden dan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Seramai 30,000 ahli dan pemimpin PKR akan membuat keputusan memilih siapa yang akan memegang jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden dan ahli MPP, dengan 10,000 ahli parti yang hadir ke kongres berkenaan akan mengundi secara fizikal, manakala seramai 20,000 perwakilan lagi akan mengundi secara dalam talian.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijadual menyampaikan ucapan dasar Presiden sekali gus merasmikan Kongres Nasional PKR pada 23 Mei malam.

Kemuncak kongres pada 24 Mei disambung dengan sesi perbahasan, penggulungan oleh kepimpinan tertinggi parti, serta pengumuman rasmi keputusan pemilihan bagi kepimpinan Pusat sesi 2025-2028.

Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh, pada 21 Mei memaklumkan persiapan kongres berjalan lancar termasuk daripada segi logistik, perwakilan dan jemputan.

Menurutnya kehadiran perwakilan fizikal yang tinggi pada kongres kali ini menyusuli pindaan Perlembagaan parti yang dilakukan pada 15 Disember 2024.

Ia membabitkan seluruh Ahli Jawatankuasa (AJK) Cabang yang menang iaitu 18 orang, AMK juga 18 orang dan Wanita 10 orang.

Untuk rekod, PKR mempunyai 220 cabang di seluruh Malaysia dan pemilihan pimpinan peringkat cabang telah terlebih dulu berlangsung pada April.

Pemilihan kali ini menyaksikan 251 calon menawarkan diri untuk bertanding bagi pelbagai jawatan peringkat Pusat, merangkumi 104 pencalonan bagi MPP, 85 calon bagi Majlis Pimpinan AMK dan 62 calon bagi Majlis Pimpinan Wanita.

Proses pencalonan juga menyaksikan Datuk Anwar tidak dicabar bagi jawatan Presiden.

Jawatan Timbalan Presiden yang paling mencuri tumpuan ramai pula, panas dengan pertembungan sengit antara penyandang yang juga Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dengan Naib Presiden PKR, Cik Nurul Izzah Anwar.

Selain itu, 12 calon bakal bertanding jawatan Naib Presiden, termasuk empat penyandang jawatan itu iaitu Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Encik Chang Lih Kang; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Sementara itu, Timbalan Ketua AMK, Encik Muhammad Kamil Abdul Munim, yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Datuk Anwar, tidak dicabar bagi jawatan Ketua AMK.

Ketua Wanita PKR, yang juga Menteri Pendidikan, Cik Fadhlina Sidek pula akan dicabar Ahli Parlimen (AP) Ampang, Cik Rodziah Ismail.

Dalam pada itu, polis Johor yang menjangkakan kesesakan aliran trafik sepanjang kongres berlangsung telah memastikan aspek keselamatan dan lalu lintas berada di tahap terbaik bagi memastikan penganjuran kongres selama tiga hari berjalan lancar.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, berkata anggota polis akan ditempatkan di semua lokasi program sempena kongres itu di sekitar Johor Bahru.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg