Topik diikuti
Pergi ke BHkuAnwar tegaskan tumpu tadbir negara, tidak fokus adakan pilihan raya umum
Anwar tegaskan tumpu tadbir negara, tidak fokus adakan pilihan raya umum
Anwar tegaskan tumpu tadbir negara, tidak fokus adakan pilihan raya umum
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pentadbiran beliau kini lebih mementingkan amanah khidmat kepada rakyat berbanding desas-desus mengenai pilihan raya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah Parlimen akan dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 diadakan dalam tempoh terdekat, menyusuli pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 1 Jun.
“Ia adalah keputusan mereka (Barisan Nasional, BN Johor). Kami (kerajaan) mempunyai keutamaan kami.
“Kami fokus pada kerja kami (mentadbir negara),” katanya ringkas semasa ditemui media selepas Majlis Peluncuran Persidangan Peralihan Tenaga di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 4 Jun, lapor Harian Metro.
Pada 1 Jun, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mengumumkan DUN Johor dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Mengikut peruntukan undang-undang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh sehingga 60 hari selepas pembubaran DUN untuk mengadakan PRN.
Sebelum ini ketika berucap di Konvensyen Pakatan Harapan (PH) di Johor Bahru pada 17 Mei lalu, Datuk Anwar, yang juga Pengerusi PH, berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk mengadakan PRU lebih awal daripada tempoh tamat penggal pada Februari 2028.
Reaksi keras beliau itu selepas Datuk Onn Hafiz pada 16 Mei lalu mengumumkan BN Johor akan bertanding di semua 56 kerusi pada pilihan raya yang akan berlangsung.
Datuk Anwar melihat kenyataan Datuk Onn Hafiz itu sebagai sesuatu yang mengejutkan ketika Umno/BN dan PH bergabung secara harmoni membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Kerajaan Pusat.
Beliau juga menegaskan bahawa PH akan turut bertanding di semua 56 kerusi DUN di Johor serta negeri-negeri lain yang akan mengadakan PRN.
“Kita tengah dikejutkan dengan keputusan BN-Umno yang mahu bertanding semua kawasan (DUN) di Johor, saya tidak terkejut kerana kita dah pantau. Itu keputusan mereka.
“Sementara ini, kepimpinan Kerajaan Pusat masih baik dan harmoni. Tetapi, kalau mereka ambil keputusan bertempur di Johor, PH juga ambil keputusan menjawab dengan tegas, PH akan bertanding di semua kawasan,” katanya.
Pada PRN Johor ke-15 yang berlangsung pada Mac 2022, BN membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
PH pula memenangi 12 kerusi dengan DAP memperoleh 10 kerusi, manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) masing-masing satu kerusi.
Blok pembangkang, Perikatan Nasional (PN), pula memenangi tiga kerusi, sementara Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) memperoleh satu kerusi.
