Topik diikuti
Pergi ke BHkuAnwar tolak cadangan naikkan harga minyak, kerajaan terus usaha tanggung subsidi
Anwar tolak cadangan naikkan harga minyak, kerajaan terus usaha tanggung subsidi
Anwar tolak cadangan naikkan harga minyak, kerajaan terus usaha tanggung subsidi
SUNGAI PETANI: Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak bersetuju dengan langkah menaikkan harga minyak ketika negara berdepan krisis bekalan global.
Sebaliknya, Datuk Anwar berkata kerajaan akan terus berusaha menanggung kos subsidi bahan api dengan mengeluarkan perbelanjaan besar setiap bulan bagi mengelakkan rakyat terbeban.
“Berapa satu bulan kita tampung? Bukan dalam peruntukan yang lama, tetapi ketika harga minyak naik, kita bayar RM5 bilion sebulan, RM3 bilion ($0.95 bilion) sebulan pun ada.
“Kemudian naik sampai RM7 bilion sebulan, sekarang turun balik RM4 bilion, RM5 bilion sebulan tambahan,” kata beliau ketika berucap melancarkan Program Himpunan Rakan Muda MADANI, pada 7 Jun.
Beliau berkata sekiranya kerajaan mengeluarkan sebanyak RM3 bilion setiap bulan untuk tempoh 10 bulan, jumlahnya mencecah RM30 bilion.
Datuk Anwar berkata walaupun jumlah itu tinggi, kerajaan mampu menampungnya menerusi langkah penjimatan selain menghentikan ketirisan dana negara.
Beliau turut menolak cadangan pihak tertentu agar kerajaan membuat pinjaman atau berhutang bagi membolehkan kerajaan terus menampung kos subsidi minyak.
“Kalau suruh hutang, saya boleh hutang sekarang, lepas itu saya tinggalkan kerajaan, anak-anak yang harus bayar. Sebab itu jalan keluarnya bukan hutang, jadi kita lakukan apa yang kita mampu,” kata beliau.
Datuk Anwar berkata langkah kerajaan itu membolehkan harga minyak di negara ini, khususnya petrol RON95 yang ditetapkan pada harga RM1.99 seliter, menjadi antara yang terendah di dunia.
Pada majlis itu, Datuk Anwar turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi pembinaan Dewan Serbaguna Padang Awam, Taman Keladi di Kedah.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar. – Bernama.
