JOHOR BAHRU: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), dijadual melancarkan jentera pilihan raya PH Johor bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 pada malam 6 Jun.

Menurut Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Encik Jimmy Puah Wee Tse, majlis tersebut akan berlangsung di Dewan Sekolah Tinggi Cina, Batu Pahat pada jam 8 malam.

Turut dijadualkan hadir adalah Timbalan Pengerusi PH yang juga Setiausaha Agung, Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Anthony Loke, serta Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu.

“Pelancaran jentera PRN PH Johor. ‘We are ready’ (Kami sudah bersedia),” tegasnya dalam hantaran Facebook yang dilapor, Astro Awani.

PKR Batu Pahat turut mengalu-alukan kehadiran penyokong ke majlis pelancaran itu, melaungkan semangat kebangkitan rakyat:

“Orang Johor sudah bersedia! Johor tidak takut berdepan pilihan raya.

“Johor tidak akan berdiam diri apabila masa depan negeri dipertaruhkan. Johor sudah bersedia untuk menentukan hala tuju negeri ini,” kata kenyataan itu.

Dalam perkembangan berasingan pada 5 Jun, Encik Loke menyatakan DAP komited mempertahankan kerusi penyandang di Johor dan Negeri Sembilan, sambil menyasarkan beberapa kerusi tambahan di Johor.

Walau bagaimanapun, jumlah kerusi tersebut tertakluk kepada rundingan muktamad bersama komponen PH yang dijangka selesai hujung minggu ini.

Bagi memberikan tumpuan penuh kepada PRN, Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP dalam mesyuaratnya pada 4 Jun memutuskan untuk menangguhkan Persidangan Kebangsaan DAP 2026.

Persidangan yang asalnya dijadual pada 12 Julai kini ditunda ke 16 Ogos.

“Mengambil kira pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan DUN Negeri Sembilan serta PRN yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran, maka Persidangan Kebangsaan DAP 2026 yang sepatutnya dijadualkan pada 12 Julai, ditunda ke 16 Ogos depan,” katanya dalam kenyataan itu.

Sebelum ini, PH Johor mengumumkan bakal bertanding di kesemua 56 kerusi DUN pada PRN kali ini.

Pada PRN Johor 2022, BN memenangi 40 kerusi DUN; PH (12); Perikatan Nasional (tiga) dan satu dimenangi Ikatan Demokratik Muda (Muda).

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mengumumkan pembubaran DUN Johor pada 1 Jun, manakala Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, mengumumkan pembubaran DUN Negeri Sembilan pada 4 Jun.