Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar tuntut anak Mahathir perjelas sumber kekayaan

Jul 31, 2025 | 2:19 PM
Malaysia, Anwar Ibrahim, Tun Dr Mahathir Mohamad, rasuah, SPRM, Tan Sri Mokhzani Mahathir, Mirzan Mahathir
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menuntut anak mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menjelaskan sumber kekayaan masing-masing atau membayar semula wang kepada kerajaan.

Dalam temu bual bersama wartawan Indonesia, Cik Najwa Shihab, di Jakarta, Indonesia, Datuk Anwar berkata pendedahan kekayaan luar biasa oleh kedua-dua anak Dr Mahathir menimbulkan persoalan yang perlu dijawab, khususnya membabitkan jumlah besar.

Ketika menyentuh mengenai perhimpunan pembangkang ditunjangi Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang lantang mengkritik kepimpinannya, termasuk menuduh wujudnya kes rasuah ketika beliau memegang tampuk kuasa, Datuk Anwar berkata beliau menyerahkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat.

“Saya tidak memilih untuk menuduh sesiapa secara sembarangan.

“Sebaliknya, saya serahkan kepada SPRM untuk menyiasat, tetapi jika seseorang itu sendiri mengisytiharkan memiliki aset bernilai RM1.2 bilion ($360 juta), manakala seorang lagi RM4 bilion, maka wajarlah mereka bayar balik, melainkan mereka boleh menjelaskan sumber dana itu,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Untuk rekod, aset Tan Sri Mokhzani Mahathir sebelum ini dianggarkan bernilai sekitar RM1 bilion, manakala Encik Mirzan Mahathir memiliki RM246.2 juta seperti yang diisytiharkan kepada SPRM.

Dalam pada itu, Datuk Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menyifatkan sebagai pelik apabila pembangkang di Malaysia dilihat mempertahankan individu yang dikaitkan dengan kekayaan luar biasa.

“Pelik apabila pembangkang pula yang mempertahankan isu seperti ini. Sepatutnya mereka menjadi pihak paling tegas dalam menentang rasuah.

“Anehnya pembangkang pula yang melindungi individu berkait rasuah, termasuk yang didukung oleh Dr Mahathir. Sepatutnya mereka menjadi barisan paling lantang menentang rasuah.

“Apa (perlunya) anak perdana menteri atau menteri memiliki kekayaan berbilion ringgit?

“Kita mesti hentikan budaya ini. Reformasi bukan hanya atas kertas atau dalam bentuk peraturan semata-mata. Reformasi itu adalah (dengan) melaksanakan kata-kata,” tegasnya.

Justeru, Datuk Anwar menegaskan perjuangan reformasi yang dibawanya bukan sekadar cogan kata atau bersifat retorik.

Temu bual itu berlangsung ketika Datuk Anwar mengadakan lawatan kerja dua hari ke Indonesia pada 30 Julai, bagi menghadiri Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia Ke-13 bersama Presiden Prabowo Subianto, yang juga sesi pertama antara kedua-dua pemimpin itu.

Media Malaysia sebelum ini melaporkan SPRM memulakan siasatan terhadap semua entiti berkait dan dinamakan dalam laporan Kertas Pandora, juga Kertas Panama dan dua anak Dr Mahathir termasuk dalam laporan itu.

Siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 juga Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg