Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar ucap selamat ulang tahun ke-100, doakan kesihatan, kesejahteraan Mahathir

Jul 10, 2025 | 2:11 PM
Mantan PM M’sia, Mahathir, usia 100 tahun
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyampaikan ucapan selamat ulang tahun kepada negarawan ulung, Tun Dr Mahathir Mohamad (depan), yang menginjak usia 100 tahun pada 10 Julai. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

Pada tarikh keramat 10 Julai, laman media sosial Malaysia dibanjiri ucapan istimewa buat mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-100.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, antara yang terawal dan tidak ketinggalan menyampaikan ucapan dan doa untuk Dr Mahathir, mantan gabungan politiknya.

“Selamat menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-100 kepada Tun Dr Mahathir. 

“Saya dan Azizah mendoakan setulusnya agar Tun terus dikurniakan kesejahteraan, ketenangan jiwa, dan kekuatan tubuh dalam menjalani kehidupan dengan penuh makna.

“Gaya hidup sihat serta amal bakti yang tidak pernah terhenti menjadi teladan kepada sebuah negara yang sedang menua, namun tetap punya harapan yang tinggi. Semoga Allah swt terus merahmati Tun, insya-Allah,” tulisnya di Facebook.

Isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, turut mendoakan suaminya dipanjangkan usia dalam kesihatan yang terbaik sehingga akhir hayatnya.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, mendoakan supaya Dr Mahathir sebagai negarawan yang banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara dikurniakan kesihatan dan dilimpahi rahmat Allah yang berpanjangan.

“Ya Allah kami syukuri anugerah usia 100 tahun buat Dr Mahathir. Terimalah amalnya sebagai jariah berterusan. Jadikan beliau sumber inspirasi dan lindungilah beliau serta keluarganya,” tulis Tan Sri Muhyiddin di Facebook.

Seorang warganet dan pemilik akaun Facebook, Mono Hayat, menulis:

“Pada hari penuh makna ini, kami rakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan doa tulus buat negarawan yang telah mencorak sejarah Malaysia dengan ketegasan, wawasan dan keberanian.

“Tun bukan sekadar pemimpin, tetapi juga simbol daya juang, disiplin dan cinta tanah air yang tidak pernah luntur. Terima kasih Tun kerana berani melihat jauh ketika orang lain hanya melihat dekat.”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg