KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjemput Perdana Menteri Singapura yang baru, Encik Lawrence Wong, melawat Malaysia dalam masa terdekat.
Datuk Anwar menyampaikan undangan itu serta mengucapkan tahniah kepada Encik Wong di atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri menerusi satu panggilan telefon pada 16 Mei.
Menurut beliau, Encik Wong pula mengucapkan tahniah atas kemenangan calon Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Anwar pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, di Selangor, pada 11 Mei.
“Sekalung tahniah kepada Lawrence Wong di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri baru Singapura.
“Saya sempat sampaikan perkara tersebut menerusi panggilan telefon kepadanya sambil menyampaikan jemputan kepadanya untuk melawat Malaysia secepat mungkin.
“Beliau turut mengucapkan tahniah di atas kemenangan pilihan raya di Kuala Kubu Baharu baru-baru ini.
“Kami senada untuk memberi komitmen dan bekerjasama rapat selain meneruskan perbincangan mengenai perkara yang berkepentingan bersama,” kata Datuk Anwar menerusi satu hantaran di Facebook pada 16 Mei, lapor Berita Harian Malaysia.
Selepas hampir dua dekad berkhidmat sebagai Perdana Menteri Singapura sejak 2004, Encik Lee Hsien Loong, 72 tahun, menyerahkan jawatan itu kepada Encik Wong pada 15 Mei.
Encik Wong, 51 tahun, yang sebelum ini menjadi Timbalan Perdana Menteri, turut kekal sebagai Menteri Kewangan.
Pada 2022, Encik Wong dipilih oleh pemimpin generasi keempat Parti Tindakan Rakyat (PAP), yang memerintah sejak Singapura mencapai kemerdekaan pada 1965, untuk menggantikan Encik Lee.
Jemaah Menteri Malaysia turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Encik Wong di atas pelantikannya itu.
Menteri Komunikasi Malaysia, Encik Fahmi Fadzil, berkata ucapan itu disampaikan mereka pada satu mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg