Perdebatan hangat mengenai kedudukan kuil Hindu di atas tapak cadangan pembinaan masjid dekat Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, berakhir dengan persetujuan pihak terlibat untuk memindahkan kuil Dewi Sri Pathra Kaliamman ke lokasi baru, kira-kira 50 meter daripada tapak asal.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang turut mengulas isu itu yang dijadikan modal politik segelintir pihak, dijadual merasmikan majlis pecah tanah masjid yang bakal dibina di atas tanah milik syarikat tekstil terkemuka Malaysia, Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel) pada 27 Mac.
Saranan Datuk Anwar supaya pihak terlibat dalam isu itu termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berbincang secara baik dan mencari titik tengah membuahkan hasil dan kuil berkenaan akan berpindah ke tapak baru berkeluasan 4,000 kaki persegi.
Kenyataan tegas Datuk Anwar dalam isu yang mencetuskan rasa tidak senang banyak pihak itu telah meredakan ‘ketegangan’ dan membugarkan persefahaman antara kaum yang dilihat sering dijadikan modal politik segelintir pihak.
Proses perbincangan mengenai pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman antara pihak Jakel, pengurusan kuil dan DBKL berjalan dengan harmoni.
Kuil berusia lebih 130 tahun itu terletak di Jalan Masjid India - iaitu lokasi sama berlakunya tragedi hitam kehilangan seorang pelancong warga India pada Ogos 2024, selepas terjatuh ke dalam lubang benam.
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, menegaskan bahawa penyelesaian itu adalah khusus bagi kes membabitkan kuil berkenaan saja, dan tidak boleh dijadikan kes rujukan bagi rumah ibadat lain.
Dr Zaliha berkata setiap isu melibatkan rumah ibadat akan dinilai secara individu berdasarkan garis panduan, kedudukan tanah dan peraturan yang berkuat kuasa.
“Kerajaan mengingatkan bahawa semua pembinaan rumah ibadat baru perlu mematuhi semua garis panduan serta peraturan sedia ada bagi menjamin keharmonian dan ketenteraman awam di Wilayah Persekutuan,” katanya.
Datuk Zaliha dalam masa sama juga menyeru pemimpin politik dan dan masyarakat tidak memanipulasikan isu seumpamanya yang boleh menjejaskan kesepaduan kaum di Malaysia.
Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman juga akan terus beroperasi sehingga kuil di tapak baru siap sepenuhnya.
Polemik mengenai isu kuil dan masjid itu timbul selepas penganut Hindu mahu kuil berkenaan yang dibina di atas tanah milik Jakel, dikekalkan.
Dalam masa sama, umat Islam dan pemilik tanah berkenaan juga bertegas mahu meneruskan pembinaan masjid yang dihasratkan pengasas Jakel sejak sekian lama.
Beberapa pihak telah menghangatkan isu itu dengan mempertikaikan mengenai hak dan kebebasan beragama serta kepatuhan undang-undang sehingga mencetus keadaan yang membimbangkan mengenai keharmonian kaum.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg