Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar: Usah guna isu akuan berkanun untuk alihkan isu

Aug 23, 2024 | 5:01 PM
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Tan Sri Muhyiddin supaya tidak cuba mengalih tumpuan umum terhadap isu siasatan kenyataan kontroversi beliau yang mempersoalkan institusi diraja.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Tan Sri Muhyiddin supaya tidak cuba mengalih tumpuan umum terhadap isu siasatan kenyataan kontroversi beliau yang mempersoalkan institusi diraja. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan Majlis Raja-Raja dan Peguam Negara mempertikaikan jumlah akuan berkanun (SD) yang diterima mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022.

Beliau berkata disebabkan pertikaian itu, ketetapan untuk melantik Perdana Menteri Ke-10 dan menubuhkan kerajaan diserahkan kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Sultan Abdullah Ahmad Shah.

Mengulas lanjut, Datuk Anwar memaklumkan, berlaku pertindihan SD yang ditandatangani ahli Dewan Rakyat (Parlimen) ketika peringkat awal proses pemilihan jawatan Ketua Eksekutif negara ketika itu.

“Sebenarnya ada (ahli Dewan Rakyat) tandatangan antara dua hingga tiga SD serta menyerahkan kuasa penuh kepada ketua parti. Sebab itu saya ketika itu mengusulkan (supaya SD dinilai) berdasarkan satu tafsiran, namun ia ditolak dan terima baik (penolakan berkenaan).

“Agong tertakluk pada Perlembagaan, apabila kedudukan tidak jelas, Muhyiddin kata ada 115 (SD), Anwar kata ada 112 (SD) dan ada orang (ahli Dewan Rakyat) tandatangan dua dan tiga (SD) dan Agong teliti perkara ini.

“Ada parti berbeza pendapat. Justeru, Tuanku terpaksa buka balik dan semak (SD) untuk meyakinkan diri baginda. Sebab itu dalam Perlembagaan dikatakan pada hemat baginda,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Anwar yang juga Ahli Parlimen (AP) Tambun, berkata beliau sebelum ini enggan mengulas isu berkenaan selepas mengambil kira ia bukan suatu isu yang perlu diperdebatkan, selain menafikan dakwaan Tan Sri Muhyiddin memiliki sebanyak 115 dokumen berkenaan bagi menyokongnya dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Isu SD timbul selepas Tan Sri Muhyiddin merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menyerahkan beberapa dokumen termasuk SD yang membuktikan beliau mendapat sokongan majoriti (115) untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10, kepada polis.

Ia susulan beliau berdepan siasatan polis berhubung kenyataan kontroversinya menyentuh kewibawaan Sultan Abdullah dalam pelantikan Perdana Menteri selepas PRU15, ketika negara berdepan Parlimen tergantung, selepas tiada mana-mana parti memenangi majoriti untuk menubuhkan kerajaan.

Datuk Anwar turut mengingatkan Tan Sri Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) supaya tidak cuba mengalih tumpuan umum terhadap isu siasatan kenyataan kontroversi beliau yang mempersoalkan institusi diraja.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg