Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zahid: Muhyiddin hanya ada 105 SD, tidak cukup bentuk kerajaan, jadi PM

Aug 22, 2024 | 2:16 PM
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan), bersama Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan, pada sidang media sempena Persidangan Agung Umno (PAU) 2024 di Kuala Lumpur.
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan), bersama Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan, pada sidang media sempena Persidangan Agung Umno (PAU) 2024 di Kuala Lumpur. - Foto FACEBOOK AHMAD ZAHID HAMIDI

KUALA LUMPUR: Umno akhirnya mendedahkan hanya 105 daripada 115 nama Ahli Parlimen (AP) yang sah menandatangani akaun bersumpah (SD) seperti didakwa Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata 10 daripada mereka melakukan tandatangan bertindih membabitkan dua parti – Barisan Nasional (BN) dan Bersatu.

“Jumlah sebenarnya ada 105 SD sahaja, ia tidak cukup untuk (bentuk) kerajaan kerana setiap calon Parlimen BN telah menandatangani tiga dokumen,” kata Datuk Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN.

Jelas beliau dokumen pertama yang ditandatangani calon Parlimen BN ialah persetujuan untuk menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada pengerusi BN dalam membentuk kerajaan atau mewujudkan kerajaan campuran atau sebarang tindakan ke arah pembentukan kerajaan.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan dokumen kedua adalah berkaitan kerusi yang dimenangi merupakan kepunyaan parti dan bukan milik individu, manakala bagi dokumen ketiga, setiap ahli yang keluar atau menukar sokongan akan dikenakan penalti sebanyak RM100 juta ($29.85 juta).

“Tiga dokumen ini ditandatangani dengan rakaman video di hadapan pesuruhjaya sumpah dan tiga peguam, jadi bagaimana kalau berlaku ‘gila talak’ mahu menafikan situasi sebenar.

“Yang sebenarnya, jumlah (SD Tan Sri Muhyiddin) itu tidak cukup,” katanya pada sidang akhbar sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 di Kuala Lumpur, lapor Sinar Harian.

Tambah Datuk Ahmad Zahid, SD yang ditandatangani 10 AP BN tidak sah kerana mereka terikat dengan tiga dokumen tersebut sewaktu watikah pelantikan calon diberikan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 2022.

Kenyataan Datuk Ahmad Zahid itu menjawab dakwaan Tan Sri Muhyiddin bahawa beliau mempunyai dokumen mengandungi 115 SD AP yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10, selepas PRU15.

Tan Sri Muhyiddin yang kini berdepan siasatan polis atas kenyataannya yang didakwa mempertikai kewibawaan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Sultan Abdullah Ahmad Shah, dalam hal pelantikan Perdana Menteri mendakwa, SD itu telah diserahkan kepada Istana Negara pada 21 November 2022, sebelum tempoh asal ditetapkan tamat.

Ketika itu Malaysia berdepan Parlimen tergantung apabila tiada mana-mana parti politik yang mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan sebelum Sultan Abdullah akhirnya melantik AP Tambun (Perak) yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai Perdana Menteri.

Sementara itu Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, menegaskan parti itu mesti memerangi politik nista dan toksik kerana jika tidak dibendung, ia akan menyemarakkan api perkauman dan kebencian, yang kemuncaknya ialah keganasan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg