Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Muhyiddin pertahan kenyataan sentuh kewibawaan Sultan Abdullah sebagai ‘kenyataan fakta’

Aug 20, 2024 | 5:10 PM
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). - Foto FACEBOOK TUAN IBRAHIM TUAN MAN

Di sebalik gesaan pelbagai pihak yang menuntut Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, memohon maaf atas keterlajurannya menyentuh kewibawaan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Sultan Abdullah Ahmad Shah, mantan Perdana Menteri itu bertegas mengatakan kenyataannya adalah fakta dan tidak menyalahi undang-undang Malaysia.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mencetus kemurkaan Istana Pahang dan kemarahan umum selepas kenyataannya mempertikai peranan Sultan Abdullah dalam pelantikan Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 2022.

Beliau membuat kenyataan itu ketika berceramah pada kempen pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Kelantan baru-baru ini.

“Saya ingin menegaskan bahawa ucapan saya di Nenggiri adalah suatu kenyataan fakta yang tidak bermaksud untuk menghina institusi raja atau menimbulkan kecenderungan menghasut. Saya percaya kenyataan saya itu tidak melanggar mana-mana undang-undang negara,” katanya di Facebook rasminya.

Tan Sri Muhyiddin, yang berdepan siasatan pihak berkuasa, turut menegaskan beliau sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis untuk menjelaskan fakta berkaitan kenyataan kontroversinya itu.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijadual merakam keterangan beliau berhubung isu itu pada 21 Ogos.

Menariknya, dalam banyak gesaan untuk polis menjalankan siasatan terhadap Tan Sri Muhyiddin, PN Pahang menerusi wakilnya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menyatakan sokongannya supaya siasatan telus dan adil dijalankan atas dakwaan tersebut.

“Semua Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang (Adun) dari PN menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Sultan Pahang, Sultan Abdullah; Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Sultan Abdullah dalam menjalankan tugas sebagai payung tempat kami bernaung.

“Adun PN Pahang menyokong penuh gesaan Tengku Mahkota Pahang berhubung ucapan Tan Sri Muhyiddin agar satu siasatan yang adil dijalankan atas dakwaan tersebut.

“Kami meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada pihak polis bagi menjalankan tugas mereka dan semua pihak tidak perlu menimbulkan polemik serta hendaklah akur terhadap titah Tuanku,” kata Datuk Tuan Ibrahim selaku Ketua Pembangkang PN Pahang dan Timbalan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Kenyataan itu sekali gus menjawab kritikan ramai sebelum ini bahawa PAS dilihat cuba mengunci mulut berhubung isu itu, yang mencalar kedaulatan institusi raja, khususnya di Pahang.

Armada Bersatu pula dilihat cuba menyalahkan pihak lawan, Suara Keadilan, iaitu lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR), sebagai cuba mencetuskan ketegangan, menghasilkan tanggapan palsu dan menyebabkan Tan Sri Muhyiddin menjadi sasaran kemarahan orang ramai.

Berita Harian pada 19 Ogos melaporkan Tengku Hassanal Ibrahim amat terkilan atas tindakan Tan Sri Muhyiddin itu dan menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Pagoh itu sebagai bahaya kerana menghasut rakyat supaya hilang kepercayaan terhadap institusi diraja, dan menggesa PDRM mengambil tindakan tegas terhadap beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg