Topik diikuti
Pergi ke BHkuAP M’sia ragui siasatan skandal ‘mafia korporat’, desak kerajaan tubuh RCI
AP M’sia ragui siasatan skandal ‘mafia korporat’, desak kerajaan tubuh RCI
KUALA LUMPUR: Beberapa Ahli Parlimen daripada pelbagai parti politik mempersoalkan kebebasan dan ketelusan siasatan Kerajaan Malaysia terhadap dakwaan ‘mafia korporat’, dengan gesaan supaya siasatan bebas dijalankan.
Ahli Parlimen (AP) Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mempersoalkan kegagalan kerajaan mendedahkan hasil siasatan awal berhubung kegiatan ‘mafia korporat’ meskipun perkara itu pernah diumumkan pada Februari lalu.
Syed Saddiq berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada minggu lalu sekali lagi berjanji siasatan telus dan bebas akan dilaksanakan di bawah pimpinan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.
Malah, Datuk Anwar katanya memberi jaminan tiada pihak akan terlepas daripada tindakan, termasuk mereka yang berada di kedudukan tertinggi.
Jelas Syed Saddiq, janji sama pernah dibuat Datuk Anwar pada Februari lalu, menyusuli pendedahan berhubung skandal saham membabitkan mantan Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, yang kemudian berkembang kepada isu mafia korporat.
“Sehingga kini hasil siasatan dilaksanakan badan siasatan diketuai Peguam Negara itu masih belum didedahkan kepada umum, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai skop dan terma rujukan siasatan diumumkan semula pada Oktober lalu.
“Apa perbezaan skop atau terma rujukan badan siasatan yang diwujudkan pada Februari dengan yang diwujudkan lagi sekali pada Oktober?,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, pada 2 November, lapor Berita Harian Malaysia.
Pada 20 Oktober lalu, Datuk Anwar mengumumkan Tan Sri Mohd Dusuki akan mengetuai pasukan petugas pelbagai agensi untuk menyiasat dakwaan ‘mafia korporat’.
Pasukan itu melibatkan SPRM, polis, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti (SC), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta penyiasat jenayah pengubahan wang haram.
Datuk Anwar meminta laporan lengkap disiapkan dalam tempoh tiga bulan dan didedahkan kepada umum, sambil menegaskan tiada sesiapa akan dilindungi.
Bloomberg melaporkan dakwaan kewujudan mafia korporat menyusup masuk ke SPRM dengan mengaitkan pegawai tertinggi agensi itu dalam skim yang didalangi rangkaian ahli perniagaan bagi mengambil alih syarikat tertentu.
Malaysiakini pula melaporkan, AP Besut dari Perikatan Nasional (PN), Che Mohamad Zulkifly Jusoh, berkata keputusan melantik Peguam Negara mengetuai siasatan, sambil mengekalkan SPRM dalam pasukan penyiasat, boleh menimbulkan kebimbangan mengenai konflik kepentingan dan menjejaskan keyakinan awam.
Katanya SPRM sendiri turut dikaitkan dengan dakwaan yang sedang disiasat.
AP Pasir Gudang dari Pakatan Harapan (PH), Encik Hassan Abdul Karim, pula mengulangi gesaan supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi membolehkan siasatan bebas dijalankan dan dapatannya diteliti orang ramai.
Menurutnya langkah itu penting untuk menentukan kebenaran dakwaan dalam laporan siasatan media antarabangsa, Bloomberg, yang membuat pendedahan mengenai skandal mafia korporat itu pada Februari lalu.
AP Masjid Tanah dari PN, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, menyokong gesaan berkenaan dan meminta Putrajaya menjelaskan sama ada kerajaan mengambil sebarang tindakan susulan untuk menubuhkan RCI.
Mengulas lanjut, Encik Hassan juga merujuk pendedahan Kementerian Dalam Negeri mengenai pembekuan dan penyitaan aset bernilai lebih RM400 juta berhubung siasatan berkenaan.
Beliau menyifatkan pendedahan itu sebagai pengakuan mengenai kewujudan gejala ‘mafia korporat’.
“Bagi saya, pengakuan yang disebut oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, di Parlimen ini adalah mengesahkan wujudnya gejala mafia korporat ini, Menteri mengaku wujudnya mafia korporat ini,” kata anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.