KUALA LUMPUR: Kawalan keselamatan di sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) diperketat menjelang Sidang Kemuncak Asean 2025, yang kini mula berlangsung dengan pelbagai mesyuarat penting membabitkan pegawai kanan dan menteri negara anggota.
Ini kerana setakat pagi 24 Oktober, lokasi persidangan sudah memulakan dua mesyuarat iaitu membabitkan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Asean (SOM) dan Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi Asean (AECC).
Kedua-dua mesyuarat itu dihadiri wakil pemerintah anggota Asean termasuk individu berstatus menteri dan pegawai kanan.
Malaysia bakal menjadi tumpuan apabila menganjurkan Sidang Kemuncak Asean ke-47 hujung minggu ini, yang menyaksikan kehadiran ramai pemimpin dunia bermula 26 Oktober, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.
Tinjauan mendapati setiap pintu masuk dan laluan ke KLCC menempatkan anggota pasukan keselamatan antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan keselamatan di lokasi persidangan berada di tahap terbaik, lapor Berita Harian Malaysia.
Setiap tetamu yang terbabit di dalam persidangan itu juga diberikan pas khas yang perlu diimbas dan paparan wajah pemegang pas juga ditayangkan di skrin keselamatan.
Sebelum memasuki KLCC, tetamu yang terbabit di dalam persidangan berkenaan juga perlu melalui pemeriksaan badan oleh pihak keselamatan yang bertugas bagi memastikan keselamatan persekitaran persidangan berada di tahap terbaik.
Pihak media pula mula membanjiri KLCC sejak awal pagi 24 Oktober untuk membuat liputan pelbagai mesyuarat dan menghadiri sidang media.
Dalam pada itu, di sebalik tuntutan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan ‘Himpunan Rakyat Tolak Trump’ sebagai bantahan terhadap kedatangan Encik Trump ke Sidang Kemuncak Asean ini, satu gabungan 16 NGO menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini khususnya dalam usaha beliau memanfaatkan platform Asean-Amerika Syarikat untuk menegaskan peranan Malaysia sebagai pusat keamanan dan dialog serantau.
Sokongan itu antara lima perkara utama terkandung dalam memorandum yang diserahkan kepada Datuk Anwar pada 24 Oktober.
Memorandum itu diserahkan wakil gabungan NGO terbabit, Encik Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, yang juga Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) kepada Datuk Anwar sejurus menunaikan solat Jumaat di Putrajaya.
“Kami menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Datuk Anwar dalam memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Amerika sebagai langkah strategik untuk memulihkan dan memperkasa ekonomi negara.
“Kerjasama ini diyakini mampu membawa manfaat langsung kepada rakyat Malaysia melalui peningkatan pelaburan bermutu, penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, pemindahan teknologi baharu, serta pengukuhan keselamatan ekonomi dan siber negara.
“Namun, kami menegaskan bahawa hubungan ini mestilah berasaskan prinsip saling menghormati kedaulatan dan maruah negara, tidak mengorbankan kepentingan rakyat, serta memastikan sebarang pelaburan asing berpaksikan nilai kelestarian, keadilan sosial dan pembangunan manusia yang inklusif,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg