KUALA LUMPUR: Kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, ke Sidang Puncak Asean ke-47 pada akhir Oktober ini, bakal dimanfaatkan sepenuhnya Malaysia untuk menyuarakan pendirian tegas berhubung isu Palestin.
Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata kehadiran Encik Trump membuka ruang untuk Malaysia dan negara rantau ini mendesak penyelesaian segera konflik Gaza.
Beliau berkata peluang itu akan digunakan sebaiknya Malaysia untuk mengetengahkan pandangan dan desakan berhubung kekejaman terhadap rakyat Palestin secara terus kepada Encik Trump.
“Kita boleh mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan suara kita secara berdepan. Beliau lebih suka perundingan secara dua hala, bukan multilateral.
“Jadi ini ruang yang boleh kita manfaatkan untuk menyuarakan desakan kita terhadap isu Gaza,” katanya ketika ditemubual secara langsung di Buletin Utama TV3 di Kuala Lumpur, pada 7 Oktober, lapor Harian Metro.
Menurutnya, Malaysia turut membawa suara Asean secara kolektif dalam sidang berkenaan bagi memperkukuh mesej bersama mendesak penyelesaian damai melalui pendekatan penyelesaian dua negara.
“Untuk pertama kalinya, ketika Malaysia menjadi Pengerusi Asean ini, kita dapat mengeluarkan kenyataan bersama untuk kita mendesak supaya ada penyelesaian dua negara ini iaitu negara Palestin yang merdeka,” jelasnya.
Datuk Mohamad berkata kenyataan bersama itu menegaskan sokongan terhadap penyelesaian dua negara iaitu pembentukan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat di samping Israel yang sudah wujud sejak 1948.
“Apabila Palestin menjadi negara yang merdeka dan ada sempadannya, kita boleh membawa usul di Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menubuhkan pasukan pertahanan PBB bagi menjaga keselamatan negara itu,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Mohamad bersetuju dengan keputusan Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhtra) yang berhasrat menghantar laporan rasmi kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) berhubung layanan tidak sempurna dan tindakan kekerasan terhadap delegasi Global Sumud Flotilla (GSF) Malaysia yang ditahan secara tidak sah oleh rejim Israel.
“Centhtra mendapat maklumat terus daripada pasukan peguam Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (Adalah) yang berpangkalan di Israel dan bertindak sebagai penghubung kerana tiada pihak luar dibenarkan masuk ke negara itu.
“Laporan Adalah menunjukkan tahanan tidak diberikan layanan sempurna, malah ada berlaku kekerasan terhadap mereka.
“Justeru, saya bersetuju dengan pandangan Centhtra supaya laporan ini dibawa ke pengetahuan UNHRC bagi tindakan sewajarnya,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg