KUALA LUMPUR: Walaupun terkesan fizikal dan mental berikutan banjir menenggelamkan rumah dan harta benda keluarga mereka, pelajar tetap cekal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang bermula 2 Disember.
Seorang pelajar, Noor Balqis Omar, menaiki trak tentera ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chabang Empat, di Tumpat, Kelantan, kerana rumah dan sekolahnya ditenggelami air.
Noor Balqis, 17 tahun, adalah 34 pelajar Sekolah Menengah Agama (Arab) Nurul Huda, Kajang Sebidang, Tumpat, yang mengambil peperiksaan di SMK Chabang Empat.
Disebabkan banjir, Noor Balqis dan sebahagian rakannya menumpang di Masjid Chabang Empat, yang dijadikan tempat berkumpul, lapor Berita Harian Malaysia.
Pada 1 Disember, Kementerian Pendidikan memutuskan semua calon yang terjejas banjir tetap perlu menduduki peperiksaan SPM, namun dibantu sebaiknya dengan dipindahkan ke asrama dan menggunakan trak tentera untuk ke pusat peperiksaan.
Ratusan trak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkapasiti tujuh, lima dan tiga tan dikerah ke tiga negeri terjejas teruk oleh banjir, iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah, untuk membawa pelajar SPM ke asrama dan pusat peperiksaan.
Di Tumpat, 37 guru yang juga penjaga pemeriksaan terpaksa menaiki lori bomba untuk mengambil soalan peperiksaan SPM di bilik kebal di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tumpat pada pagi 1 Disember.
Pada hari pertama SPM pada 2 Disember, kementerian itu memaklumkan bahawa semua pelajar terjejas akibat banjir berjaya menduduki peperiksaan itu tanpa ada yang tercicir.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menzahirkan rasa kagum akan sikap reda mangsa banjir serta kecekalan petugas bantuan yang tidak mengenal erti lelah, dan menyifatkan rakyat Malaysia mempunyai sifat luar biasa menghadapi bencana banjir.
“Rakyat kita luar biasa. Mangsa banjir tetap tenang... petugas (bantuan) pula tidak mengeluh walaupun keletihan, ada yang kurang tidur namun terus bersemangat membantu,” katanya di majlis perjumpaan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi Disember di Putrajaya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg