Topic followed successfully
Go to BHkuBadan Peguam M’sia dibenar cabar keputusan bebas tanpa lepas Zahid
Badan Peguam M’sia dibenar cabar keputusan bebas tanpa lepas Zahid
Badan Peguam M’sia dibenar cabar keputusan bebas tanpa lepas Zahid
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan Malaysia membenarkan Badan Peguam Malaysia meneruskan semakan kehakiman terhadap keputusan Peguam Negara (AG) yang menghentikan sementara pendakwaan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada 2023.
Ia berkaitan dengan 47 tuduhan rasuah terhadap Datuk Ahmad Zahid yang melibatkan dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya, yang menyaksikan beliau mendapat pelepasan tanpa pembebasan (DNAA).
Dalam keputusan sebulat suara pada 7 Mei, panel tiga hakim yang diketuai Datuk Faizah Jamaludin berkata mereka mendapati permohonan semakan kehakiman itu wajar dan tidak remeh.
Mereka berkata Badan Peguam Malaysia membangkitkan isu yang boleh dipertikai, yang memerlukan semakan kehakiman penuh dan mengembalikan perkara itu ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.
Panel hakim turut mengatakan bahawa cabaran Badan Peguam Malaysia bukanlah serangan terhadap mahkamah jenayah yang mengendalikan kes tersebut kerana ia mencabar kesahihan dan rasionaliti keputusan AG yang membawa kepada DNAA Datuk Ahmad Zahid.
“Mahkamah jenayah tidak boleh memaksa Peguam Negara dalam peranannya sebagai pendakwa raya untuk meneruskan pendakwaan sebaik sahaja beliau memutuskan untuk menghentikannya (kerana) keputusan tersebut kekal dengan tanggungjawab Perlembagaannya di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
“Memandangkan perintah DNAA mahkamah jenayah adalah akibat prosedur daripada keputusan Peguam Negara, perayu tidak menyerang perintah mahkamah jenayah yang memberikan DNAA.
“(Tetapi) apa yang dicabarnya adalah punca eksekutif perintah itu, iaitu keputusan Peguam Negara untuk menghentikan pendakwaan berkenaan dengan tuduhan terhadap Datuk Ahmad Zahid, dan untuk mendapatkan DNAA,” kata Datuk Faizah ketika membacakan penghakiman panel yang membenarkan rayuan Badan Peguam Malaysia itu.
“Oleh itu, kami mendapati bahawa permohonan perayu (Badan Peguam) untuk semakan kehakiman bukanlah serangan terhadap perintah mahkamah jenayah mengenai DNAA berkenaan dengan semua 47 tuduhan terhadap Datuk Ahmad Zahid.
“Kami (juga) dengan hormatnya tidak bersetuju dengan penolakan kebenaran Mahkamah Tinggi, kerana pada pandangan kami, Mahkamah Tinggi telah menggunakan piawaian yang tidak wajar pada peringkat kebenaran dan terlalu jauh dalam perkara yang dikhaskan untuk pendengaran substantif,” kata Datuk Faizah, lapor Malaysiakini.
Panel itu juga tidak membuat sebarang perintah kos.
Turut mempengerusikan permohonan itu ialah Hakim Datuk Dr Lim Hock Leng, dan Datuk Nadzarin Wok Nordin.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 4 September 2023, telah meluluskan permohonan pendakwaan untuk DNAA ke atas kes rasuah Datuk Ahmad Zahid.
Pendakwa raya utama, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, yang merupakan Peguam Negara semasa, telah menggariskan 11 alasan untuk permohonan ketika itu, termasuk membenarkan pendakwaan menjalankan siasatan yang lebih menyeluruh dan lengkap terhadap kes Datuk Ahmad Zahid.
Berikutan itu, Badan Peguam Malaysia telah memfailkan permohonan semakan kehakiman mereka pada 4 Disember pada tahun sama (2023), bagi mencabar keputusan Peguam Negara.
Namun, mereka gagal mendapatkan kebenaran untuk meneruskan semakan kehakiman pada 2024, mengakibatkan rayuan di hadapan panel hakim Mahkamah Rayuan.
Pada 14 Mei ini, Datuk Ahmad Zahid akan mengetahui keputusan selepas memfailkan permohonan pembebasan penuh (DNA) pada 24 April lalu, atas alasan Jabatan Peguam Negara (AGC) melalui kenyataan media memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap kesemua 47 tuduhan dihadapinya.
Pada 12 Januari lalu, Tan Sri Mohd Dusuki, menegaskan keputusan untuk mengklasifikasikan kes Datuk Ahmad Zahid sebagai NFA dibuat hanya selepas pihak pendakwaan mengkaji dengan teliti enam pernyataan yang dikemukakan oleh Presiden Umno itu.
