Zahid mohon dibebas dari 47 pertuduhan Yayasan Akalbudi
Peguam Negara sebelum ini putuskan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap 47 pertuduhan berkenaan
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memohon agar dilepas dan dibebaskan daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.
Permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi pada 28 Januari lalu, menamakan Pendakwa Raya sebagai responden, dengan alasan Peguam Negara sebelum ini, pada 8 Januari lalu, telah mengumumkan tiada tindakan lanjut (NFA) ke atas 47 pertuduhan tersebut.
Peguam bela Datuk Ahmad Zahid, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, pada 3 Februari menjelaskan di Mahkamah Tinggi, permohonan itu kerana anak guamnya telah ‘dilepas tanpa dibebaskan (DNAA)’ lebih dua tahun.
“Jadi tak adil untuk seseorang, pertuduhan itu sentiasa tergantung atas kepala dia. Beliau perlu mencari kebenaran,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Permohonan segera yang turut disertakan sijil perakuan segera itu telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 30 Januari. Hakim Nurulhuda Nur’Ain Mohamad Nor menetapkan 24 Februari ini untuk pendengaran.
Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II, Datuk Badius Zaman Ahmad, mengesahkan penerimaan permohonan tersebut pada 30 Januari. “Mahkamah mengarahkan pihak kami memfailkan afidavit jawapan pada 13 Februari ini,” jelas beliau.
Mahkamah sepatutnya mendengar permohonan itu pada 3 Februari, namun Datuk Badius Zaman memohon penangguhan kerana permohonan baru diterima. Penangguhan dibenarkan, dan Pendakwa Raya diarah memfailkan afidavit jawapan pada 13 Februari.
Pejabat Peguam Negara sebelum ini pada awal Januari, memaklumkan keputusan NFA itu dibuat selepas meneliti keseluruhan bahan dan keterangan baru. Keputusan ini selaras dengan kuasa budi bicara Peguam Negara bawah Perlembagaan dan undang-undang berkaitan.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, pada 12 Januari, menegaskan NFA adalah hasil penelitian teliti terhadap enam representasi yang dikemukakan oleh Presiden Umno itu.
Pada 4 September 2023, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan DNAA ke atas Datuk Ahmad Zahid daripada 47 tuduhan, setelah membenarkan permohonan Tan Sri Mohd Dusuki yang ketika itu Timbalan Pendakwa Raya.
Tan Sri Mohd Dusuki ketika itu berkata pendakwaan menghentikan prosiding untuk menyiasat kes dengan lebih mendalam.
Datuk Ahmad Zahid sebelum itu telah menghantar surat representasi setebal 200 muka surat kepada AGC sebagai asas pertimbangan supaya pertuduhan terhadapnya digugurkan.
Surat representasi pertama dikemukakan pada Januari 2023, manakala yang terbaru, lengkap dengan fakta dan bukti baru, dihantar kepada AGC pada Februari tahun sama.
Antara pertuduhan pecah amanah termasuk penggunaan dana itu untuk enam pembayaran kad kredit peribadi, polisi insurans, lesen kenderaan peribadi, pemindahan wang ke firma guaman, dan sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.
Datuk Ahmad Zahid turut didakwa dengan lapan pertuduhan menerima suapan dan 27 tuduhan pengubahan wang haram. Semua pertuduhan itu didakwa dilakukan antara 204 hingga 2018.

