KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang menghabiskan 23 tahun di dalam penjara kerana membunuh majikannya menjadi banduan pertama di Malaysia memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) ketika menjalani hukuman.
Banduan berkenaan, yang dipanggil Murad (bukan nama sebenar), menjalani hukuman penjara sejak 2001, selepas disabit bersalah membunuh majikannya dalam keadaan marah.
Jabatan Penjara Malaysia memaklumkan bahawa Murad, yang mempunyai PhD dalam bidang pentadbiran perniagaan, menjalani hukuman penjara pada usia 14 tahun sebagai Tahanan Limpah Sultan (TLS) di Rawatan Pemulihan Dadah Penjara Kajang, Selangor.
“Murad adalah prospek pertama Jabatan Penjara yang bergelar doktor falsafah dalam bidang pentadbiran perniagaan, setelah menyambung pelajaran ketika menjalani hukuman di penjara,” kata Jabatan Penjara menerusi satu kenyataan di Facebook, lapor portal Free Malaysia Today.
Portal itu sebelum ini melaporkan Murad menduduki dan lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memperoleh diploma, ijazah sarjana muda serta ijazah sarjana semasa menjalani hukuman penjara.
Tarikh 11 Disember pasti menjadi detik paling bermakna buat Murad apabila beliau memperoleh pengampunan diraja oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, sempena Hari Keputeraan beliau pada hari itu.
Murad, yang kini berusia 37 tahun, dibebaskan daripada tahanan dan waran pembebasannya telah dibacakan oleh Pengarah Penjara Kajang, Encik Preshahdin Monshee.
Semasa sesi pembebasan itu, Encik Preshahdin, menasihatkan Murad supaya sentiasa mengamalkan disiplin serta menggunakan ilmu untuk memajukan diri, dan berkata Jabatan Penjara sedia membantu sekiranya Murad memerlukan pertolongan.
Sebagai banduan bawah umur ketika itu, Murad tidak dijatuhkan hukuman penjara tetapi diperintahkan diletak dalam tahanan atas perkenan Sultan Selangor (negeri tempat kesalahan itu berlaku).
Undang-undang Malaysia menetapkan individu dewasa yang disabitkan kesalahan membunuh boleh dihukum penjara seumur hidup atau dihukum mati.
Mengikut undang-undang, penahanan atas perkenan raja bermakna Murad hanya layak dibebaskan mengikut budi bicara kerajaan.
Pada sesi pembebasan itu Murad menzahirkan kesyukuran dan menjunjung kasih kepada Sultan Selangor atas pengampunannya.
Beliau turut berterima kasih kepada Jabatan Penjara kerana memberi peluang dan ruang kepadanya menyambung pengajian hingga berjaya menggenggam PhD dan bergelar doktor falsafah.
Murad berkata dia akan mengenang semua jasa baik Jabatan Penjara dan percaya peranan jabatan itu dalam memulihkan individu sepertinya untuk bersepadu semula dengan masyarakat dalam keadan yang lebih baik.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg