KOTA BHARU: Tiga sungai di Kelantan melepasi paras amaran dan berjaga-jaga setakat 8 pagi pada 22 November susulan hujan berterusan.
Menurut Portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), keadaan Sungai Semerak di Pasir Putih melepasi paras amaran dengan bacaan 2.57 meter berbanding paras amaran 2.3 meter.
Sungai Golok di Rantau Panjang dan Sungai Melor di Jambatan Melor, Bachok, turut melepasi paras berjaga-jaga.
Ketika-tiga sungai berkenaan menunjukkan trend meningkat dan sehingga kini hujan masih berterusan, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Media sebelum ini melaporkan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) JPS meramalkan hampir 20 kampung di kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer dari Sungai Golok yang bersempadan Malaysia-Thailand dijangka banjir bermula 22 November hingga 24 November.
PRABN dalam satu kenyataan memaklumkan amaran itu dikeluarkan susulan hujan berterusan selain status aras air sungai yang diramalkan naik melebihi paras bahaya.
Sementara itu, keadaan banjir di Terengganu telah reda dengan hanya satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Kemaman bagi menempatkan 29 mangsa daripada enam keluarga sehingga pagi 22 November, lapor BHM.
Laman web Public Info Banjir pula memaklumkan empat sungai di negeri itu melepasi paras amaran iaitu Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman, pada bacaan 2.42 meter melepasi 1.9 meter.
Sungai Nerus di Kampung Langkap (F1) Setiu, paras sungai meningkat kepada 20.49 meter melepasi paras amaran 20 meter; manakala Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih dibaca pada 13.99 meter melebihi paras amaran 13 meter.
Selain itu, Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu, turut mencatatkan bacaan amaran apabila paras air melepasi bacaan 12 meter kepada 12.07 meter.
Sementara itu, seramai 66 mangsa banjir daripada 30 keluarga telah dipindahkan ke PPS selepas beberapa kawasan di daerah Larut, Matang dan Selama di Perak dinaiki air.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, dalam satu kenyataan, berkata kesemua mangsa dari Kampung Simpang Halt telah berteduh di Dewan Orang Ramai Simpang Halt sejak 10 malam, 21 November, lapor The Star.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan ribut petir dan hujan pada sebelah pagi dan petang 22 November bagi kebanyakan daerah di Perak termasuk Larut, Matang dan Selama, Kerian, Perak Tengah, Hilir Perak, Kuala Kangsar dan Kinta.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg