Terengganu menjadi negeri pertama dilanda banjir dengan 2,787 mangsa daripada 650 keluarga telah berpindah ke 14 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah setakat petang 20 November.
Jumlah itu meningkat mendadak berbanding hanya 212 mangsa yang terjejas dalam banjir yang bermula sejak 19 November.
Banjir di Terengganu menjejas lima daerah dengan Kemaman yang paling teruk terkesan, mengakibatkan 2,620 mangsa terpaksa meninggalkan kediaman yang dinaiki air dan berlindung di PPS demi keselamatan.
Daerah lain yang turut terjejas ialah Hulu Terengganu, Marang, Setiu dan Dungun.
Selain penduduk, haiwan peliharaan seperti kucing turut diselamatkan oleh anggota keselamatan.
Tindakan pantas sepasukan anggota bomba menyelamatkan lapan kucing yang terperangkap di dalam sebuah rumah yang ditenggelami banjir di Perumahan Taman Rakyat Teluk Kalong, Kemaman, menyelamatkan haiwan itu daripada dihanyutkan air bah.
Lima anggota bomba terbabit terpaksa mengharung banjir sejauh kira-kira 500 meter (m) untuk membawa keluar kucing-kucing terjejas dengan menaiki bot.
Sementara itu di Pahang, tiga sungai – satu di Kuantan, Maran dan Raub – mencatat bacaan melepasi paras waspada 3.08m pada 20 November.
Dua sungai di Kota Bharu, Kelantan, turut mencatat bacaan melebihi paras waspada iaitu 2.08m, susulan hujan lebat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Encik Zainal @ Jainal Madasin, bagaimanapun berkata keadaan setakat ini masih terkawal dan pihaknya belum menerima sebarang laporan banjir.
Di Kuala Berang, Hulu Terengganu, Berita Harian Malaysia (BHM) melaporkan enam sekeluarga meredah banjir sejauh 700m untuk ke PPS di Kampung Kemat, selepas pekarangan kediaman mereka dinaiki air.
Encik Zahriel Mohd Fahd Abdul Ghani, 42 tahun, bersama isteri serta dua anak berusia lapan dan 10 tahun, termasuk bapa dan ibu mentua, bergerak ke PPS kira-kira 4.30 petang, 19 November.
Beliau berpindah selepas menyedari air naik dengan cepat di pekarangan rumahnya susulan hujan berterusan sejak awal subuh.
“Pada 2022, rumah didiami bersama mentua ditenggelami banjir sedalam empat meter, jadi saya lebih beringat.
“Jarak ke PPS di Balai Raya Kampung Kemat kira-kira 700 meter dari rumah dan perlu melalui kebun kelapa sawit. Walaupun petang, susah nak nampak jalan sebab hujan lebat,” katanya.
Di Gua Musang, Kelantan, pula sejak hampir sedekad lalu, menjadi rutin bagi lebih 80 keluarga di Kampung Limau Kasturi, untuk membina rumah rakit sebagai persediaan setiap kali musim tengkujuh tiba.
Semuanya bermula selepas banjir besar pada 2014, menyebabkan penduduk sanggup mengeluarkan belanja khusus untuk menyiapkan rumah rakit yang diperlukan bagi berdepan tragedi sama sekiranya berulang.
Sebelum ini Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan berterusan dan tahap berjaga-jaga untuk negeri di kawasan Pantai Timur dan Johor bermula dari 19 hingga 23 November.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg