Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Banjir Johor kian pulih, tinggal 2,000 mangsa di pusat perlindungan

Mangsa yang terjejas giat bersihkan rumah masing-masing yang diselaputi lumpur, barangan rosak ditenggelam banjir
Mar 24, 2025 | 5:03 PM
Penduduk menggunakan jentera berat untuk memindahkan barangan yang rosak selepas kediaman mereka ditenggelami banjir antara yang paling buruk di Johor pada 20 Mac lalu.
Penduduk menggunakan jentera berat untuk memindahkan barangan yang rosak selepas kediaman mereka ditenggelami banjir antara yang paling buruk di Johor pada 20 Mac lalu. - Foto NSTP

Banjir di Johor semakin pulih dengan tinggal hanya kira-kira 2,000 mangsa yang masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah, kira-kira seminggu sebelum sambutan Aidilfitri.

Jumlah itu jauh berkurangan daripada lebih 11,000 mangsa yang dipindahkan ke PPS pada 20 dan 21 Mac lalu.

Walaupun sebahagian besar mangsa sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, episod duka mereka mengalami kerosakan harta benda akibat banjir belum berakhir.

Air mata mengiringi ramai mangsa banjir melihatkan segala persiapan menyambut Aidilfitri musnah, berikutan banjir yang memburuk begitu pantas pada 20 Mac lalu menyebabkan mereka tidak sempat menyelamatkan apa-apa, melainkan membawa diri dan keluarga berpindah ke PPS.

Kini mangsa yang terjejas giat membersihkan rumah masing-masing yang diselaputi lumpur dan barangan yang rosak ditenggelami banjir.

Pihak berkuasa di Johor turut melancarkan operasi pembersihan secara besar-besaran bagi membantu penduduk membersihkan kediaman dan kawasan sekitar serta membina semula kehidupan mereka terutama menjelang Hari Raya tidak lama lagi.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Encik On Jabbar, dilaporkan berkata kerajaan telah mengerahkan lebih 3,000 orang daripada badan sukarelawan, Southern Volunteers, sejak 22 Mac untuk membantu dalam usaha pembersihan kediaman penduduk.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, turut mengarahkan sukarelawan Southern Volunteers memberi bantuan segera kepada mangsa banjir.

Mengikut maklumat di portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat setakat 4 petang 24 Mac, lebih 700 mangsa masih berada di lima PPS Johor Bahru; Pontian (lebih 600 mangsa); Kluang dan Batu Pahat (masing-masing lebih 400 mangsa) dan Kota Tinggi (70 mangsa).

Walaupun cuaca semakin baik, orang ramai dinasihatkan sentiasa berjaga-jaga berikutan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di beberapa daerah di Johor merangkumi Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

MetMalaysia dalam kenyataan pada 24 Mac berkata amaran itu dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter/jam, yang hampir atau dijangka berlaku lebih satu jam.

Kerajaan Johor juga mengambil langkah proaktif dengan menyasarkan untuk menyelesaikan isu 800 lubang atas jalan akibat banjir di lima daerah yang terlibat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata selain kira-kira 500 lubang di sekitar Johor Bahru, baki 300 lagi lubang atas jalan dikesan di Kulai, Pontian, Kota Tinggi dan Kluang.

Dalam pada itu, premis dan bangunan awam serta kerajaan yang ditutup akibat banjir sebelum ini sudah mula dibuka dan beroperasi semula.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dilaporkan berkata empat klinik desa (KD) di Johor yang terjejas akibat banjir dengan tiga daripadanya kembali beroperasi, iaitu KD Maju Jaya dan Plentong di Johor Bahru serta Batu 4 di Kota Tinggi.

Perkhidmatan KD Kangkar Tebrau di Johor Bahru pula terpaksa dipindahkan sementara ke Klinik Kesihatan (KK) Majidee.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg