Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Banjir di Kedah makin buruk

Sep 20, 2024 | 10:35 AM
Limpahan air Sungai Kedah pada 19 September menyebabkan bandar Alor Setar dilanda banjir kilat.
Limpahan air Sungai Kedah pada 19 September menyebabkan bandar Alor Setar dilanda banjir kilat. - Foto BERNAMA

ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 6,087 orang setakat 8 pagi 20 September, berbanding 4,425 orang malam sebelumnya.

Keadaan di Perlis dan Pulau Pinang tidak berubah.

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 1,942 keluarga yang terjejas banjir di Kedah telah dipindahkan ke 36 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah.

Kawasan Kota Setar mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 2,424 individu diikuti Kubang Pasu (1,537), Pokok Sena (925), Pendang (806), Kuala Muda (184), Bandar Baharu (131), dan Kulim (80), lapor The Star.

Sementara itu, laman web Public Infobanjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)  menyatakan jumlah sungai yang berada pada paras bahaya berkurang kepada enam sungai setakat 8 pagi pada hari sama.

Tiga sungai di daerah Kubang Pasu iaitu Sungai Padang Terap di Kepala Batas, Sungai Bata dan Sungai Laka di Kampung Padang Pasir masih melepasi tahap bahaya ketika ini.

Tiga sungai di daerah Kota Setar iaitu Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR dan Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya di daerah Kota Setar juga turut melepasi tahap bahaya.

Menurut JKM, daerah Kota Setar terus mencatatkan peningkatan jumlah mangsa yang berpindah ke 11 PPS iaitu seramai 2,424 mangsa daripada 821 keluarga berbanding 2,305 mangsa daripada 789 keluarga malam sebelumnya.

Selain itu, daerah Kubang Pasu juga meningkat apabila dua lagi PPS dibuka menjadikan sembilan PPS aktif di daerah itu yang menempatkan 1,537 mangsa daripada 498 keluarga direkodkan 20 September, berbanding 1,299 mangsa daripada 399 keluarga di tujuh PPS.

Sementara itu di Perlis, 114 mangsa banjir ditempatkan di tiga PPS di Arau dan Kangar, berbanding 115 malam sebelumnya.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md Daud, berkata 47 mangsa berada di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Ahmad Musa dan 37 di SK Kubang Gajah di Arau, manakala SK Sena di Kangar menempatkan 30 mangsa.

Di Pulau Pinang pula jumlah mangsa yang dipindahkan berkurangan sedikit kepada 578 individu dalam lapan PPS, turun daripada 594 orang malam sebelumnya.

Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pulau Pinang, 168 keluarga yang terjejas banjir adalah dari Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah, dan Seberang Perai Selatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg