KUALA LUMPUR: Tiga negeri di utara Malaysia iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang dilanda banjir dan ribut, dengan jumlah keseluruhan mangsa yang terjejas setakat 2 petang 19 September meningkat kepada 4,559 mangsa dari 1,354 keluarga.
Kedah paling teruk terjejas menyaksikan seramai 3,835 mangsa dari tujuh daerah dipindahkan ke 29 pusat pemindahan sementara (PPS), manakala Pulau Pinang merekodkan seramai 615 mangsa di tiga daerah terlibat dipindahka ke 10 PPS.
Seramai 149 mangsa dari dua daerah di Perlis pula dipindahkan ke empat PPS.
Di Jitra, Kedah, Harian Metro melaporkan, petani di kawasan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lubuk Batu terpaksa menanggung kerugian lebih RM2 juta ($0.61 juta) apabila hampir keseluruhan kawasan sawah seluas 232 hektar tenggelam akibat banjir sejak 16 September lalu.
Seorang petani Megat Asmadi Megat Saidin, 52 tahun, dari Kampung Panchor, berkata semua sawahnya seluas hampir 19 hektar ditenggelami, air sekali gus menyebabkan padi yang sudah boleh dituai rosak sepenuhnya.
“Kerugian saya sangat banyak, tak dapat nak disebut berapa jumlahnya. Serelung (kira-kira 0.29 hektar) biasanya dapat 1.5 tan metrik (padi). Harga setan metrik padi RM1,800.
“Saya tanggung juga kerugian dari segi kos membajak dan benih padi bukan saja untuk bendang saya, termasuk bendang petani lain yang mengupah saya membajak dan membekalkan benih untuk mereka. Saya dahulukan modal, mereka sepatutnya bayar lepas musim menuai,” katanya.
Di Butterworth, Pulau Pinang, pengusaha restoran makanan laut di Pantai Bersih, Bagan Ajam, Encik Loh Seng Kok 59 tahun, berkata mendakwa kejadian ribut dan ombak besar pada 18 September, adalah yang terburuk sepanjang lapan tahun berniaga di situ.
“Saya dijangka terpaksa keluarkan kos sehingga RM150,000 bagi membaik pulih premis yang rosak teruk. Perniagaan pun tak dapat beroperasi dan pekerja pula terpaksa direhatkan ekoran keadaan restoran yang tidak selamat selain keadaan cuaca buruk,” katanya.
Di Kangar, Perlis, pertembungan banjir akibat hujan lebat dan fenomena air pasang besar di perairan Perlis menyebabkan pelbagai timbunan sampah terdampar di jalan pesisiran pantai antara Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, hingga Sungai Padang, Sanglang.
Sekurang-kurangnya 29 rumah rosak akibat ribut yang melanda beberapa lokasi di sekitar Perlis sejak 15 September lalu dan penilaian sedang dibuat untuk membantu penduduk yang terjejas.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg