Situasi banjir yang melanda sembilan negeri di Malaysia menunjukkan tanda pemulihan, dengan jumlah mangsa terjejas semakin menyusut pada 2 Disember.
Data Jabatan Kebajikan Masyarakat setakat 5 petang 2 Disember menunjukkan jumlah mangsa berkurangan hampir 20 peratus kepada 110,000, berbanding lebih 150,000 orang sebelumnya.
Trend penurunan turut direkodkan di negeri Pantai Timur Kelantan dan Terengganu, yang terjejas paling teruk.
Kelantan, yang sebelum ini memindahkan hampir 100,000 penduduk terjejas banjir, semakin pulih dengan hanya lebih 68,000 mangsa daripada lebih 21,000 keluarga masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS).
Keadaan di Terengganu juga semakin baik dengan jumlah mangsa terjejas berkurang lebih 15 peratus kepada 32,000, berbanding lebih 43,000 sebelum ini.
Sebahagian penduduk di Kedah, Perak, Perlis, Melaka, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor juga mula pulang ke rumah masing-masing.
Bagaimanapun, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada 2 Disember mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat dari petang 3 Disember hingga awal pagi 4 Disember di Kelantan dan Terengganu.
Aliran monsun pula dijangka bermula dari 8 hingga 14 Disember, berpotensi menyebabkan hujan berterusan di timur Semenanjung dalam tempoh tersebut.
Justeru, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengingatkan walaupun situasi pemulihan itu membawa sedikit kelegaan, semua pihak yang terkesan harus terus berhati-hati, mengutamakan keselamatan dan sentiasa peka mematuhi arahan pihak berkuasa.
“Janganlah bermain atau mendedahkan diri kepada air banjir, walaupun paras air semakin surut,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Sementara itu di Dungun, Terengganu, seorang lelaki ditemui lemas selepas motosikal ditunggangnya dihanyutkan arus ketika beliau cuba menyeberang laluan utama yang dinaiki banjir, di sebuah ladang kelapa sawit dekat Felda Kerteh 3.
Dalam kejadian kira-kira 5 pagi 1 Disember itu, mangsa dikatakan menunggang sebuah motosikal dan menyeberangi jalan utama di situ dengan mengekori sebuah lori yang dipandu rakannya.
Bagaimanapun, secara tiba-tiba motosikal yang ditunggang mangsa dihanyutkan arus banjir.
Pasukan Bomba dan Penyelamat menemui mayat mangsa, Allahyarham Wan Muhamad Firdaus Wan Nasir, 36 tahun, kira-kira 10 meter dari lokasi mangsa hanyut, kira-kira 2.15 petang, 2 Disember.
Di Tumpat, Kelantan, seorang kanak-kanak perempuan, Nur Lezarra Abd Talib, sembilan tahun, ditemui meninggal dunia pada 1 Disember di rumahnya yang dilanda banjir, dipercayai akibat diserang sawan.
Ibunya pula, yang awalnya demam, dipercayai tiba-tiba diserang angin ahmar dan tidak boleh menggerakkan tangan.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Penolong Pesuruhjaya Kama Azural Mohamed, mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan jenazah mangsa dan ibunya, yang tidak sedarkan diri, dipindahkan ke Hospital Pasir Mas dengan menggunakan lori kerana kawasan itu terkepung banjir.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg